Asus Malaysia hari ini telah memperkenalkan satu lagi tablet baru untuk pasaran Malaysia, dinamakan sebagai Asus Fonepad 7 dan membawakan nombor model FE171CG. Asus mengatakan ia bukannya ingin menggantikan versi sebelumnya, sebaliknya kedua-dua akan ditawarkan di pasaran.
Asus Fonepad 7 (FE171CG) mengekalkan pelbagai ciri-ciri seperti versi asal seperti penggunaan cip Intel Atom Z2520, skrin bersaiz 7-inci dan dilengkapi Android berasaskan ZenUI. Dari segi penaik-tarafan ia menggunakan kamera belakang 8-megapixel, kamera hadapan 2-megapixel, memori sebanyak 2GB RAM, ruangan storan 16GB, serta rekaan yang lebih nipis dan juga ringan berbanding sebelumnya.
Penggunaan nama yang sama seperti versi sebelum ini mungkin mengelirukan ramai pihak, terutamanya pengguna sekiranya ingin mendapatkan aksesori dan sebagainya. Menjawab mengenainya, pihak Asus mengatakan mereka akan menjenamakan dan memasarkan ia sebagai Fonepad 7 Plus.
Di Malaysia, Asus Fonepad 7 (FE171CG) akan dijual pada harga RM529, dan dipasarkan bermula awal Februari 2015 ini.