Cari @ Amanz

 

Lenovo Vibe X2
Pemproses MediatTek MT6595m True8Core
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (Tiada sokong MikroSD)
Kamera Utama 13 MP
Kamera Depan 5 MP
Skrin 5″ LCD FHD (441 ppi)
Bateri 2300 mAh
SIM/Telefoni DWi SIM Mikro + Nano 4G LTE
Harga RM 1199

Lenovo ialah jenama yang semakin mendapat tempat di kalangan pengguna Malaysia. Apabila kami pulang ke kampung ramai saudara mara yang menggunakan peranti buatan Lenovo. Kemunculan Lenovo dengan peranti mampu milik adalah antara satu sebab mengapa jualan Samsung merudum. Peranti kelas permulaan dan pertengahan mereka memberikan nilai yang lebih tinggi kepada wang yang dibelanjakan oleh pemiliknya. Di ruangan komen Amanz kami menyedari sudah wujud kumpulan penyokong Lenovo  yang akan “mempertahankan” jenama ini apabila ianya diperlekehkan kerana menggunakan pemproses yang dikatakan kurang berkuasa.

Lenovo Vibe X2 ialah peranti Lenovo pertama yang kami ulas secara penuh. Sebelum ini kami hanya mampu melakukan pandang pertama kerana pihak Lenovo tidak memberikan unit untuk diulas. Jadi adalah Lenovo mampu menghasilkan peranti yang berbaloi untuk dimiliki?

Dari segi spesifikasi Vibe X2 mempunyai skrin LCD 5″ HD Penuh, pemproses 8 teras MediatTek MT6595m. Empat teras pada kelajuan 2 GHZ dan empat lagi teras pada kelajuan 1.7 GHZ. RAM adalah sebesar 2 Gigabyte dengan muatan dalaman 32 Gigabyte. Tiada sokongan penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD disini. Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel pada kamera utama dan 5 Megapixel pada kamera hadapan. Pada bahagian kanan peranti terdapat butang kuasa dan suara. Pada bahagian kiri terdapat slot SIM. Slot mengecas MikroUSB terletak pada bahagian atas manakala jack fon telinga terletak pada bahagian atas. Peranti ini tidak mempunyai ketahanan kalis air ataupun debu. Pembesar suara mono terletak pada bahagian belakang. Ianya cukup nyaring untuk melakukan panggilan pampas tangan dan menonton video.

Secara keseluruhan kemasan Vibe X2 adalah baik walaupun sedikit aneh kerana berlapis. Rekaan peranti yang agak berkotak adalah sedikit kurang selesa untuk dipegang. Ini adalah kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya secara peribadi menggunakan peranti dengan bahagian tepi yang melengkung. Apabila menggenggam Vibe X2 yang bersegi, ia mengingatkan kami kepada rekaan Samsung Galaxy S2. Jadi bolehlah dikatakan jika anda biasa menggunakan peranti yang bahagian tepinya melengkung, sisi bersegi Vibe X2 akan terasa sedikit tidak selesa untuk digenggam jika dibandingkan dengan iPhone 6 ataupun Xperia Z3.

 

[amanz-gallery]


Antaramuka Vibe UI

Vibe X2 masih menggunakan sistem operasi Android 4.4.2. Ketika ulasan ini ditulis perancangan kemas kini ke Android Lollipop dijangka tiba pada suku kedua 2015. Tiada tarikh kukuh diberikan oleh pihak Lenovo.

Antaramuka Vibe UI digunakan dan harus saya katakan rekaan antaramuka ini kurang menarik perhatian. Ikon-ikon dan elemen antaramuka kelihatan seperti peranti awal 2010. Ia masih menggunakan gradient dan skema warnanya juga agak kusam. Ini adalah bertentangan dengan trend semasa yang menggunakan rekaan rata dengan warna yang menarik pada Android Lollipop. Seperti kebanyakan peranti dari China, Vibe UI tidak menyertakan talam aplikasi. Kesemua aplikasi yang dimuat turun akan terpampang pada skrin utama seperti pada peranti IOS. Terdapat pilihan untuk mengubah tema dengan aplikasi Theme Center. Anda boleh memilih satu daripada enam pilihan yang disertakan. Tidak seperti pada peranti Xiaomi kami tidak menjumpai cara untuk memuat turun tema baru dengan mudah. Sungguhpun dari segi estetik Vibe UI tidak menyerlah, fungsi tambahan yang disertakan adalah menarik.

Sebagai contoh terdapat ruangan khas tutorial untuk anda menggunakan kesemua fungsi tambahan yang wujud di dalam peranti ini. Yang paling saya gemari ialah pada skrin tetapan, terdapat tab khas Feature yang membolehkan adan mengaktifkan atau mematikan fungsi tambahan. Pada peranti pengeluar lain fungsi tambahan disorokkan di dalam pelbagai sub menu yang lain. Ini menyukarkan anda untuk mencari fungsi tambahan apakah yang ada. Tindakan Lenovo mewujudkan tab khas Feature ini adalah sangat mesra pengguna terutamanya kepada mereka yang baru pertama kali menggunakan peranti buatan mereka seperti saya. Diharap pengeluar peranti Android lain boleh mengikut jejak Lenovo untuk meletakkan tab khas pada skrin tetapan khas untuk fungsi tambahan.

Kami difahamkan pada Lenovo Vibe Z2 Pro anda boleh mengubah antaramuka Vibe UI kepada Android stock. Berita buruk di sini ialah fungsi mengubah kepada Android stock tidak disertakan pada Vibe X2. Kami tidak tahu mengapa ianya tidak disertakan sekali kerana kami yakin jika pilihan untuk menjadikan Vibe X2 sebuah peranti Android asli ia akan menarik minat lebih banyak pengguna untuk memilikinya.

Sepanjang tempoh ulasan peranti berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah. Biasanya apabila menggunakan peranti dengan pemproses Mediatek kami akan menyedari ada aplikasi yang gagal berfungsi dengan baik tetapi kali ini kesemua aplikasi popular seperti Facebook, Instgaram, WhatsApp dan Twitter berfungsi dengan lancar. Tatalan juga lancar tanpa sebarang masalah sela masa disedari.


Kamera

Kamera utama Vibe X2  ialah sebesar 13 Megapixel manakala kamera hadapan pula ialah 5 Megapixel. Ia mampu merakam video pada resolusi HD Penuh. Tidak terdapat banyak fungsi khas disertakan oleh pihak Lenovo pada aplikasi kamera. Dua fungsi khas yang disertakan ialah mod panorama dan kesan khas. Antaramuka aplikasi adalah mudah difahami dan mesra pengguna. Terdapat juga pelbagai tetapan manual yang boleh anda gunakan untuk menangkap gambar dengan lebih baik.

 

Berikut ialah beberapa contoh gambar yang kami ambil menggunakan kamera Vibe X2





Kesimpulan Ujian Gambar

Kualiti gambar adalah sederhana dengan warna yang agak kusam dan gambar yang diambil agak gelap. Pada pencahayaan sempurna gambar yang diambil masih lagi gelap dari situasi sebenar. Dalam situasi pencahayaan rendah pula kualiti gambar yang diambil kurang memuaskan dengan masalah memfokus serta noise yang nyata. Aneh sekali gambar dalam keadaan gelap yang diambil menggunakan mod HDR kelihatan lebih buruk dari gambar yang diambil menggunakan mod automatik. Prestasi kamera Vibe X2 adalah mengecewakan bagi kamera bersaiz 13 Megapixel.

Video

Pretasi video adalah lebih baik jika dibandingkan dengan mod gambar. Terdapat sokongan video HD Penuh dengan penstabilan video. Apabila anda melakukan banyak pergerakan video yang diambil masih lagi stabil.


Penanda Aras

Dengan pemproses lapan teras Vibe X2 mempunyai kuasa memproses yang tinggi. Dari markah penanda aras yang dicatatkan jelas sekali peranti ini adalah antara yang paling berkuasa di pasaran sekarang. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menyedari sebarang masalah melancarkan aplikasi. Kelajuan tatalan juga lancar. Jika ada satu kelemahan yang boleh kami katakan ialah peranti mudah menjadi sedikit panas jika digunakan untuk jangka masa yang lama. Peranti Mediatek sering dikatakan tidak berkuasa tetapi di dalam kes Vibe X2 ianya adalah tidak sama sekali.



Bateri

Bateri Viber X2 hanya sebesar 2300 mAh. Ini pada pendapat kami adalah kecil bagi peranti dengan skrin 5″ HD penuh dengan pemproses lapan teras. Pada penggunaan berat ia hanya mampu bertahan selama  7 jam  6 minit. Pada penggunaan ringan pula ia mampu berfungsi hampir 9 jam. Ini bukanlah hayat beteri yang boleh dibanggakan. Jadi tidak mengejutkan antara aksesori yang dihasilkan Lenovo untuk Vibe X2 ialah cangkerang dengan power bank terbina. Hayat bateri ialah perkara yang paling penting bagi kami pada sesebuah peranti. Jika ia tidak mampu bertahan lama apa gunanya skrin Penta HD ataupun pemproses 16 teras? Lenovo seharusnya tahu jika mereka menggunakan pemproses lapan teras bateri yang digunakan juga sepatutnya juga harus berkapasiti tinggi.

 

 


Kesimpulan

Peranti Lenovo yang menggunakan pemproses Mediatek sering menjadi bahan ketawa di ruangan komen laman ini. Tetapi di dalam kes Lenovo Vibe X2 jelas sekali stereotaip peranti negara China ini adalah lemah dan tidak berkualiti adalah salah sama sekali. Pemproses lapan teras yang digunakan mampu melakukan kesemua tugasan yang diberikan dengan mudah. Penggunaannya juga lancar tanpa sebarang masalah seperti aplikasi terhenti dengan sendiri ataupun peranti gagal berfungsi. Apabila ujian penanda aras dilakukan ia berjaya mencatatkan markah yang tinggi.

Kemampuan kamera adalah sederhana. Mengambil gambar pada situasi terang tidak mendatangkan masalah. Aplikasi juga memberikan pelbagai pilihan kawalan manual sekiranya diperlukan. Tetapi pengambilan gambar dalam situasi gelap menunjukkan kelemahan yang ketara.

Hayat bateri juga sedikit mengecewakan dengan hanya bertahan selama 7 jam pada penggunaan berat. Ini kurang 2 jam dari purata hayat bateri peranti yang kami ulas di makmal Amanz.

Secara keseluruhan Lenovo Vibe X2 ialah peranti yang baik dengan beberapa kekurangan. Rekaannya yang unik pastinya disukai oleh mereka yang mahukan kelainan. Kami cukup berpuas hati dengan kemampuannya. Pada harga RM 1199 ianya mempunyai harga yang sama dengan Samsung Galaxy A5 yang juga baru memasuki pasaran. Dari segi kemampuan dan fungsi tambahan Lenovo Vibe X2 berjaya mengalahkan A5 dengan mudah. Tetapi jika kesemua aspek peranti dipertimbangkan kami merasakan A5 mempunyai kelebihan dari segi kamera, kemasan dan hayat bateri. Bergantung kepada anda aspek apakah yang lebih penting pada sesebuah peranti. Pilihan di tangan anda.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan lain daripada lain. Kemasan berlamina ialah rekaan yang jarang dilihat pada peranti lain.
  • Pelbagai fungsi tambahan disertakan Lenovo. Setiap fungsi tambahan juga diletakkan di dalam tab tersendiri pada skrin tetapan bagi memudahkan anda menggunakannya.
  • Peranti yang cukup berkuasa dan berfungsi dengan lancar.
KONTRA dan Kekurangan
  • Kemampuan kamera sederhana
  • Hayat bateri yang sederhana

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd