Cari @ Amanz

Sehingga kini U Mobile telah beroperasi selama 7 tahun dan pada tahun lepas mereka telah melaksanakan pelbagai program baik dari segi promosi mahupun program menambah keluasan rangkaian mereka. Pada sesi media bersama Wong Heang Tuck, CEO U Mobile, beliau telah berkongsi beberapa perkara yang menarik sepanjang 2014 yang lepas.

UMObile CEO

Bercakap mengenai kawasan liputan perkhidmatan mereka, ianya telah berkembang malahan pada akhir tahun ini, U Mobile bakal mempunyai sehingga 2000 tapak pemancar yang baru. 1000 tapak pemancar 3G dan 1000 tapak pemancar 4G LTE akan disiapkan menjelang penghujung 2015. Beberapa kawasan di Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan Labuan juga bakal menerima liputan berkelajuan tinggi ini sekaligus menjadikan kawasan yang diliputi rangkaian mereka setanding pesaing lain.

UMobile Muzik Percuma

Tahun lepas pelbagai promosi dan juga penawaran perkhidmatan percuma yang menarik telah dilaksanakan seperti promosi penstriman laman YouTube dan Tonton secara percuma, promosi perayauan di negara ASEAN secara percuma dengan kuota 50MB bagi pelanggan prabayar, serta penstriman muzik percuma melalui aplikasi KKBox. Promosi dan penawaran perkhidmatan ini mendapat maklumbalas yang baik, dimana ramai pengguna yang memanfaatkannya dan akan merancang untuk memberikan penawaran lain pada tahun ini.

Selain dari penawaran perkhidmatan dan promosi menarik, dari segi pengenalan produk dan pelan baru U Mobile pada tahun lepas telah hadir dengan Quickpay yang membolehkan pekedai menerima bayaran melalui kad kredit. Mereka juga telah menghadirkan pelan langganan khusus yang ditawarkan bersama peranti Oppo. U Mobile turut menyatakan yang mereka akan menambah produk baru yang relevan untuk pengguna mereka.

Dengan perkongsian sebegini, pastinya U Mobile bakal menarik minat lebih ramai pelanggan baru disamping menawarkan lebih banyak nilai kepada pelanggan mereka yang sedia ada.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd