“Tentera papan kekunci” ialah nama jolokan negatif kepada individu yang gemar berbalahan di atas talian. Tentera papan kekunci dikatakan hanya bijak bercakap kosong tanpa mengeluarkan tenaga bagi memulihkan situasi. Di United Kingdom “tentera papan kekunci Facebook” menjadi realiti apabila ianya ditubuhkan oleh Angkatan Tentera United Kingdom. Pasukan yang diberi nama Regimen ke-77 yang berpangkalan di Berkshire dilaporkan mempunyai 1500 aggota yang mahir menggunakan media-media sosial. Pasukan ini ditubuhkan sebagai sayap perang ideologi di atas talian United Kingdom. Angkatan Tentera UK menyedari betapa efektifnya media sosial dalam mendapatkan sokongan orang awam seperti yang digunakan oleh ISIS dan Tentera Israel. Bagi mempertahankan United Kingdom dari propaganda pengganas, tentera alam maya ini diharap dapat melawan penyebaran propaganda ISIS dengan propaganda mereka sendiri. Regimen ke 77 ini sebenarnya diilhamkan oleh pasukan tentera papan kekunci tentera Israel yang dilihat berjaya menyebarkan propaganda Israel dengan efektif sepanjang Perang Gaza 2014.
Pengawalan maklumat dan penyebaran berita oleh pihak Israel berjaya membuatkan media barat secara majoritinya berpihak kepada Israel sepanjang tempoh peperangan. Umum kita ketahui Amerika Syarikat kalah di Vietnam kerana pihak tentera gagal mengawal penyebaran berita negatif mengakibatkan orang awam lebih memihak kepada pengunduran tentera dari Vietnam. Ketika dua perang teluk tentera Amerika Syarikat mengawal pihak media dan hanya membenarkan berita positif tentang penaklukan Iraq disebarkan. Ia membuatkan rakyat Amerika menyokong penaklukan tanpa sebab munasabah Iraq selama lebih 10 tahun. Pihak tentera sudah menyedari memenangi propaganda di medan saiber juga amat penting untuk memenangi perang di dunia sebenar. Sekiranya ada merasakan anda berbakat menjadi tentera alam maya, mungkin anda boleh berhubung dengan Kementerian Pertahanan bagi mewujudkan pasukan tentera saiber di Malaysia.