Raspberry Pi 2 Diumumkan Dengan Kuasa Prestasi Lebih 6 Kali Ganda Baik, Menyokong Windows 10

Raspberry Pi 2 Diumumkan Dengan Kuasa Prestasi Lebih 6 Kali Ganda Baik, Menyokong Windows 10

Diterbitkan pada Feb 2, 2015 oleh .

Pihak Raspberry Pi sebelum ini telah memperkenalkan model A+ dan juga B+ dalam mengemaskini penawaran mereka – dan hari ini mereka turut membuat kejutan dengan memperkenalkan Raspberry Pi 2 yang membawakan kemaskini kuasa pemprosesan dan juga memori.

Raspberry Pi 2 membawakan cip empat-teras Broadcom BCM2836 900MHz dan turut dilengkapi dengan memori 1GB RAM. Perkara ini sekaligus membawakan pemprosesan dan prestasi penggunaan 6 kali ganda berbanding versi Raspberry Pi sebelum ini.

Raspberry Pi 2

Menurut pihak Raspberry Pi juga, memandangkan ia menggunakan pemprosesan berasaskan ARMv7, maka ia boleh menjalankan sejumlah distro Linux, selain turut menyokong Windows 10 dan juga Ubuntu Core.

Secara kasar, ia membawakan rekaan yang menyerupai Raspberry Pi B+ sebelum ini, tetapi dikemaskini dengan pemprosesan dan memori. Pelbagai port sambungan dikekalkan, termasuk menyokong pelbagai perisian yang sedia dioptimasikan untuknya.

Seperti versi sebelumnya, Raspberry Pi 2 ini membawakan harga sebanyak $35 (~RM127), dan sudah dijual bermula hari ini. Kita mungkin akan melihat ia dijual di pasaran tempatan dalam masa terdekat ini.

Turut berkongsi mengenai perancangan masa depan – mereka dan Microsoft dijangka akan mengumumkan sokongan untuk Windows 10 melalui Raspberry Pi ini tidak lama lagi.

TIPS & ULASAN