Cari @ Amanz

Penggunaan Recycle Bin pada komputer Windows boleh dikatakan salah satu perkara yang membantu ramai pengguna – terutamanya apabila mereka terpadam sesuatu fail tanpa sengaja, dan ingin mengembalikannya kembali. Fungsi serupa juga kini boleh ditambah pada peranti Android anda dengan sebuah aplikasi khusus dinamakan sebagai Dumpster.

Menggunakan Dumpster, pada pertama kalinya, anda akan ditanya berkenaan fail jenis apakah yang anda ingin uruskan melalui Dumpster – sama ada imej sahaja, atau muzik, video, dokumen, aplikasi dan sebagainya. Sebaik sahaja anda menetapkannya, ia akan membuat analisa ringkas, dan pengguna boleh meninggalkan aplikasi berkenaan.

Dumpster Android

Selepas ia dipasang, setiap dokumen yang telah ditetapkan yang dipadam, akan dihantar ke Dumpster dan ia akan beroperasi sebagai sebuah Recycle Bin. Anda akan diberi pilihan untuk mengembalikan sesuatu fail kembali ke tempat asal sekiranya terpadam tanpa sengaja – ataupun turut membuat tetapan pada Dumpster untuk membuang semua fail apabila telah capai sesuatu tempoh – seperti seminggu selepas dipadam dan sebagainya.

Aplikasi ini hadir dengan sokongan pengiklanan – yang mana bagi kami tidak begitu menganggu. Namun, pengguna masih boleh membuang iklan tersebut dengan membuat pembelian dalam aplikasi pada harga RM8.99.

Bagi anda yang menguruskan pelbagai jenis fail, termasuk gambar – dan tidak ingin terpadam sesuatu fail tanpa sengaja, mungkin boleh memasang dan mencuba Dumpster hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd