Penggunaan butang home fizikal semakin berkurang sejak akhir-akhir ini kerana butang navigasi yang dipaparkan di atas skrin adalah lebih mudah digunakan. Tetapi Samsung masih mengekalkan rekaan ini kerana mereka meletakkan pengesan jari pada bahagian hadapan peranti. Tetapi sekiranya anda mahukan peranti tanpa sebarang butang fizikal termasuklah butang suara dan kuasa, Manta 7X ialah peranti Android yang anda nanti-nantikan. Manta ialah sebuah pengeluar peranti pintar yang berpangkalan di China. Telefon pintar Manta 7X menggantikan butang kuasa dan suara fizikal dengan sensor sesentuh pada bahagian sisi peranti. Sensor pada bahagian sisi ini turut berfungsi sebagai pengesan cap jari. Peranti ini mempunyai skrin 5″ HD penuh, diperkasakan pemproses 2.5 GHz Snapdragon 801, RAM sebesar 2 GB dan muatan dalaman 32 GB. Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel pada bahagian belakang dan hadapan dengan fungsi OIS. Tiada sokongan MikroSD tetapi ia dilengkapi bateri sebesar 4200 mAh. Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam dan ia mempunyai ketahanan air IP55. Buat masa ini Manta 7X hanya akan dijual di China dengan harga jualan sekitar RM 2367. Harus dikatakan harga jualan 7X adalah terlalu mahal dan oleh sebab itu pihak Manta akan turut menjual Manta 7L yang menggunakan pemproses Mediatek pada harga yang lebih murah.