Cari @ Amanz

Sejak kelahiran anak pertama saya Ogos tahun lalu  saya tidak lagi mampu pergi menonton wayang setiap minggu. Ini adalah sangat mengecewakan kerana saya seorang gemar menonton filem di wayang gambar kerana ia mempunyai skrin yang lebih besar serta sistem audio yang lebih baik berbanding sistem audio visual saya di rumah. Mempunyai panggung wayang sendiri di rumah ialah antara impian Mat Jenin saya sejak bertahun lamanya. Malang sekali kos untuk memiliki wayang persendirian ini hanya mampu ditanggung oleh orang ada ada sahaja.

BenQ melancarkan dua projektor digital mereka tahun lalu dengan tujuan menjadikan impian mempunyai wayang di rumah menjadi realiti oleh orang kebanyakan. Projektor BenQ W1070+ dan juga W1080ST+ ialah dari jenis lontaran pendek yang membolehkan imej besar dipaparkan pada permukaan dinding sungguhpun di dalam ruang yang kecil. Saya menerima seunit BenQ W1070+ dua minggu yang lalu dan ini ialah ulasan ringkas saya. Adakah impian saya mempunyai wayang gambar di dalam rumah kini mampu milik dan berjaya menjadi realiti?

REKAAN

Projektor BenQ W1070+ mempunyai saiz tapak yang kecil. Pada bahagian kiri terdapat pembesar suara 10 W dengan teknologi kebuk resonan. Ini menurut BenQ menghasilkan bunyi yang lebih kuat berbanding projektor lain di pasaran. Pada bahagian kanan pula terdapat ruang penyejukan udara. Pada bahagian hadapan terdapat sebuah lagi ruang udara dengan kipas penyejuk dan lensa projektor. Pada bahagian atas terdapat butang fizikal yang membolehkan anda melakukan penuntukur gambar yang dipaparkan serta butang tetapan projektor. Cincin pemfokusan dan saiz paparan gambar juga terletak di bahagian atas. Di bahagian belakang terdapat pelbagai pilihan input serta output. BenQ W1070+ menyokong dua input HDMI, satu RGB komputer, kabel component dan composite. Turut disertakan ialah jack untuk input serta output audio bersaiz 3.5mm. Akhir sekali pada bahagian bawah terdapat tetongkat boleh laras untuk mengubah tahap tenggekan projektor.

Rekaan projektor ini menarik sungguhpun diperbuat daripada bahan plastik. Terdapat corak pada sisi seperti sarang lelabah (honeycomb) dan sirip penyejuk dengan warna perak.

Turut disertakan ialah sebuah alat kawalan jauh. Alat kawalan jauh ini mempunyai butang dengan lampu terbina bewarna merah, Rekaan sebegini tidak pernah kami lihat pada sebuah alat kawalan jauh sebelum ini dan disertakan bagi memudahkan penggunaan di dalam gelap.

BeQ-Cinema20150211_114139


PENGGUNAAN

Kali pertama projektor dipasang anda perlu mengaktifkan fungsi Keystone bagi memudahkan kalibrasi paparan. Ianya mudah digunakan dan difahami sungguhpun sebelum ini saya tidak mempunyai sebarang pengalaman menggunakan projektor. BenQ BenQ W1070+ boleh memancarkan imej dari kedudukan menyenget dan fungsi keystone memudahkan anda membetulkan paparan dengan hanya menekan beberapa butang.  Fungsi memancarkan imej dari kedudukan tepi memastikan anda  masih boleh menggunakan projektor ini walaupun di dalam ruang yang kecil. Ruang tamu kondominium saya bolehlah dikategorikan sebagai kecil dan dengan jarak lontaran 1.5 meter saya mampu memaparkan imej dengan saiz sekitar 60″. Ketika beroperasi bunyi dari projektor adalah lebih rendah jika di banding dengan projektor lain yang pernah kami gunakan. Saluran penyejukan udara terletak di bahagian hadapan dan ini  mengelakkan bunyi bising kipas dari didengari dengan jelas oleh pengguna.

M2280028 IMG_20150210_180453

Kualiti paparan adalah amat baik apabila bilik di dalam keadaan separa gelap. Projektor ini menyokong lontaran imej pada resolusi 1080P. Paparan yang dihasilkan adalah cukup tajam dan terang. Dalam keadaan bilik gelap sepenuhnya kualiti paparan adalah setanding dengan paparan TV LED yang kami gunakan sekarang.Tiada masalah ghosting sungguhpun ketika menayangkan babak filem yang penuh aksi. Projektor ini turut menyokong paparan 3D tetapi kami tidak dapat menguji fungsi ini kerana pihak BenQ tidak menyertakan kaca mata 3D untuk diuji. Kaca mata 3D perlu diberi secara berasingan sekiranya anda berminat.

BeQ-Cinema20150211_114531Pembesar suara terbina projektor ini sangat kuat sungguhpun pada tetapan paling rendah. Pada tahap dua ianya setanding dengan tahap audio televisyen kami pada tetapan pertengahan. Sungguhpun kuat kualiti bunyi sedikit mengecewakan kerana ianya hanya sebuah pembesar suara mono. Menonton filem adalah lebih mengujakan dengan sistem audio stereo. Pembesar suara juga diletakkan pada sisi sebelah kiri projektor dan ini bukanlah posisi yang baik untuk meletakkan sebuah pembesar suara. Analoginya seperti mendengar audio dari sebuah iPhone dan dibandingkan dengan sebuah HTC One M8 yang mempunyai pembesar suara stereo menghala ke hadapan.

Seperkara lagi yang kami rasakan menarik ialah alat kawalan jauhnya yang mempunyai lampu terbina. Ia menyala dengan lampu merah yang mudah dilihat dalam keadaan gelap. Selepas menggunakan alat kawalan jauh ini kami mahu kesemua alat kawalan jauh di ruang tamu kami mempunyai fungsi yang sama. BenQ W1070+ juga boleh mengesan segala kawalan anda sungguhpun apabila alat kawalan jauh tidak dihalakan kearahnya.  Ini membuatkan kami tertanya tanya mengapa alat kawalan jauh TV, pemain BluRay dan decoder Astor/HyppTV tidak mempunyai kemampuan yang sama?

 


 

Kesimpulan

BenQ W1070+ ialah sebuah projektor bersaiz kecil dengan kemampuan yang mengagumkan. Kualiti paparan gambar adalah baik dengan sokongan sehingga 1080P. Kemampuan lontaran pendek dan dari sisi membolehkan ia memaparkan gambar bersaiz besar di dalam ruang yang kecil. Penggunaan adalah mudah sungguhpun sebelum ini anda tidak pernah menggunakan projektor. Pilihan input juga cukup mewah dengan sokongan input HDMI, RGB, Component dan Composite. Gambar yang dipaparkan cukup tajam dan tiada masalah ghosting sungguhpun ketika babak aksi pantas. Pembesar suara terbina yang digunakan juga mempunyai tahap bunyi yang sangat kuat. Kekurangan yang ada ialah pembesar suara masih lagi mono dan ini mengurangkan kenikmatan menonton filem di rumah. Kesimpulannya BenQ W1070+ ialah projektor yang akan menjadikan impian anda untuk mempunyai wayang gambar sendiri di rumah menjadi kenyataan. Harga jualan ialah RM3999 sebuah.

PRO dan Kelebihan
  • Kualiti paparan HD Penuh yang tajam dan setanding dengan sebuah paparan LED.
  • Pelbagai pilihan input bagi memudahkan anda menyambung segala macam peranti. Ia turut menyokong sambungan dari peranti pintar.
  • Sokongan 3D.
  • Pembesar suara terbina dengan tahap bunyi yang cukup kuat untuk menonton filem aksi di rumah
  • Kemampuan lontaran pendek dan dari sisi.
KONTRA dan Kekurangan
  • Pembesar suara mono

Skor-Amanz-BenQ-W1070

 

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd