SkolaFund Ingin Memudahkan Pelajar Mengumpulkan Dana Untuk Belajar

SkolaFund Ingin Memudahkan Pelajar Mengumpulkan Dana Untuk Belajar

Diterbitkan pada Feb 5, 2015 oleh .

Dalam usaha untuk memudahkan para pelajar mengumpulkan dana untuk belajar di universiti dan sebagainya, kini salah satu projek baru yang sedang dalam fasa pembangunana adalah SkolaFund.

SkolaFund dimulakan oleh tiga anak muda dalam usaha untuk membantu pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka dan pada masa yang sama mengurangkan atau meminimakan hutang yang perlu ditanggung oleh mereka. SkolaFund ini lebih ditujukan kepada mereka yang kurang berkemampuan, tetapi tidak terhad kepada mereka sahaja dan boleh disertai oleh sesiapa dalam usaha mengumpulkan dana untuk belajar.

SkolaFund

Bercakap mengenainya dengan kami, pembangunnya mengatakan pengenalan SkolaFund disasarkan pada bulan Mac, dan ia akan dimulakan secara berperingkat dengan pengenalan kepada pelajar-pelajar UIA terlebih dahulu. Ini akan memudahkan mereka menjadi kumpulan sasaran untuk kempen dan menguji kaedah penerimaan awam sebelum ia diperluaskan kepada pelbagai universiti lain, serta ditambah-baik berdasarkan input orang ramai.

SkolaFund akan dimulakan sebagai sebuah platform crowdfund pada fasa pertama yang mana akan membolehkan pelajar memulakan kempen untuk mengumpulkan dana, dan sesiapa sahaja boleh menyumbang untuk kempen yang disukai mereka. Pada peringkat awal, mereka akan menggunakan platform PayPal terlebih dahulu, dan turut bercadang untuk menyokong beberapa platform pembayaran tempatan pada masa akan datang.

SkolaFund

Mengenai prosesnya, SkolaFund akan mengehadkan pengumpulan dana setiap kempen untuk selama 30 hari, dan sekiranya dana terkumpul dalam tempoh tersebut, maka wang tersebut akan disalurkan kepada pihak universiti untuk bayaran yuran – dan jika terdapat baki, maka mereka akan salurkannya kepada pelajar. Seperti biasa, jika sesuatu kempen tersebut gagal, maka semua wang akan dikembalikan kepada pemilik asal.

Selain hanya crowdfund, beberapa kaedah lain turut ingin diintegrasikan pada platform tersebut dalam usaha membolehkan pelajar mengumpulkan dana. Kami tidak bertanya lanjut mengenainya – tetapi ia tidak mustahil untuk melihat sokongan seperti kerja sambilan dan sebagainya turut disertakan pada SkolaFund dalam usaha membolehkan pelajar mengumpulkan dana tambahan.

SkolaFund akan dilancarkan pada bulan Mac kelak, dan sebagai usaha untuk mempromosikannya, kini mereka telah pun memulakan kempen, dimana pembangunnya ingin menyumbang RM1 untuk setiap pendaftaran pada laman SkolaFund. Bagi anda yang berminat, boleh mendaftarkan diri di SkolaFund untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenai projek berkenaan, selain pada masa yang sama menyokong usaha anak tempatan dalam membolehkan lebih ramai menikmati pendidikan tanpa dibebani hutang.

SkolaFund

Layari : SkolaFund


TIPS & ULASAN