Xiaomi hari ini telah mengemaskini laman rasmi mereka, dimana menyertakan tablet mereka dalam penyenarai untuk peranti-peranti yang ditawarkan di Malaysia. Melalui apa yang diperlihatkan, tablet Xiaomi Mi Pad berkapasiti 16GB akan ditawarkan di Malaysia pada harga RM799.
Xiaomi Mi Pad hadir dengan skrin bersaiz 7.9-inci pada resolusi 2048×1536 pixel, menggunakan cip pemprosesan NVIDIA Tegra K1, memori sebanyak 2GB RAM, ruangan storan 16GB yang boleh diperluaskan sehingga 128GB melalui mikro-SD, serta hadir dengan kamera belakang 8-megapixel serta kamera hadapan 5-megapixel. Xiaomi turut melengkapkan peranti ini dengan bateri berkapasiti 6700mAh.
Untuk perisian, Mi Pad dilengkapi dengan MIUI yang dikhususkan untuk tablet dalam menawarkan pengalaman penggunaan yang selari dengan produk Xiaomi lain.
Xiaomi mengatakan tablet ini membawakan kuasa gaming yang amat baik berbanding sejumlah tablet lain di pasaran, selain pada masa yang sama turut memudahkan pembacaan menggunakannya. Bateri yang digunakan menawarkan masa bertahan sehingga 1300 jam, ataupun memainkan video selama 11 jam, atau turut digunakan untuk membaca sehingga 17 jam.
Versi yang akan dijual di Malaysia adalah hanya berwarna putih sahaja, dan seperti semua sedia maklum, ia hadir dengan sokongan WiFi 5GHz.
Xiaomi melalui laman Facebook mereka mengatakan tablet ini akan dijual bermula daripada 10 Februari, pukul 12 tengah hari.
Jadi, pada harga RM799, apa kata anda? Adakah anda akan mendapatkannya?