SAFFiR : Robot Pemadam Api Tentera Laut Amerika Syarikat

SAFFiR : Robot Pemadam Api Tentera Laut Amerika Syarikat

Diterbitkan pada Feb 5, 2015 oleh .

saffir-demo-0Di dalam filem Terminator dunia dimusnahkan oleh komputer dengan kepintaran buatan manusia yang melancarkan ribuan misil nuklear. Manusia yang terselamat kemudian diburu oleh robot Terminator sehingga diancam kepupusan. Apa yang dipaparkan di dalam filem ini mungkin fiksyen tetapi penggunaan robot di dalam bidang ketenteraan adalah realiti. Tentera Marin Amerika Syarikat kini menguji keldai robot dengan bantuan Boston Dynamics. Teknologi yang sama ditiru oleh China untuk kegunaan tentera darat mereka sendiri. Pada waktu yang sama Tentera Darat Amerika sudah berjaya menguji lori kargo yang boleh memandu dengan sendiri. Tentera Laut Amerika Syarikat tidak mahu ketinggalan dalam menggunakan teknologi robot terkini. SAFFiR ialah robot yang sedang diuji bagi melakukan tugas yang terlalu berbahaya kepada kelasi iaitu memadam kebakaran. Robot dua kaki ini menggunakan sistem radar, kamera IR dan LIDAR bagi mencari sumber kebakaran di dalam asap yang tebal. Ini adalah kemampuan yang tidak mampu dilakukan oleh kelasi manusia. SAFFiR juga mampu menahan bahang serta kebocoran radiasi. Projek ini adalah hasil usaha sama Office of Naval Research (ONR) dan Virginia Tech bagi mengurangkan risiko yang perlu diambil kelasi ketika beroperasi di atas kapal. Kebakaran di atas kapal ialah perkara yang ditakuti kelas sejak ratusan tahun. Kebakaran yang kecil dengan mudah merebak dan sukar dikawal. Sebagai contoh KD Sri Inderapura milik TLDM musnah selepas terbakar selama 10 hari.

 


TIPS & ULASAN