Cari @ Amanz

 

Samsung Galaxy Note Edge
Pemproses 2.7 GHz Empat Teras Snapdragon 805
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 16 MP (4K)
Kamera Depan 3 .7 MP
Skrin 5.6″ SAMOLED QHD  (524 ppi)
Bateri 3000 mAh
SIM/Telefoni MikroSIM / 4G
Harga RM 2999

Rekaan peranti dengan skrin pada bahagian sisi dipatenkan oleh Samsung pada tahun 2013. Mereka juga turut mempatenkan beberapa fungsi unik yang boleh dilakukan dengan peranti yang mempunyai skrin melengkung sehingga ke bahagian sisi. Baru-baru ini sebuah lagi paten tertiris ke arena web dengan rekaan skrin melengkung sehingga ke panel belakang. Dengan Samsung Galaxy Note Edge Samsung memperlihatkan sebuah lagi evolusi rekaan peranti pintar dengan skrin sesentuh. Inovasi rekaan aneh bukanlah sesuatu yang aneh bagi Samsung kerana mereka adalah pelopor peranti bersaiz phablet dengan stylus serta peranti berskrin melengkung Galaxy Round. Persoalan disini ialah adakah pasaran untuk peranti dengan skrin pada bahagian sisi seperti Edge? Adakah ianya rekaan yang akan menjadi ikutan pengeluar lain seperti Note ataupun sebuah eksperimen yang hanya akan menemui kegagalan seperti kegilaan peranti dengan kemampuan 3D beberapa tahun yang lalu.

Dari segi spesifikasi Note Edge adalah sama dengan Galaxy Note 4 yang kami ulas tahun lalu. Perbezaan hanya dilakukan pada saiz skrin yang kini mengecil kepada 5.6″ berbanding 5.7″ pada Note 4. Pengecilan ini adalah skrin yang sama pada Note 4 kini dibengkokkan bagi menghasilkan skrin pada bahagian sisi Edge. Note 4 di Malaysia diperkasakan pemproses Exynos lapan teras tetapi untuk Note Edge ia diperkasakan oleh pemproses 2.7 GHz empat teras Snapdragon 805. RAM pula sebesar 3 Gigabyte dengab pilihan muatan dalaman 32 ataupun 64 Gigabyte. Kemampuan kamera dikekalkan iaitu 16 Megapixel pada bahagian belakang dan 3.7 Megapixel pada bahagian hadapan. Kapasiti bateri pula berkurangan kepada 3000 mAh  berbanding 3220 mAh pada Note 4.

Mari mulakan ulasan dengan bercakap tentang rekaan peranti. Tubuh Note Edge diperbuat daripada logam sementara panel belakang diperbuat daripada bahan plastik. Rekaan kulit palsu dikekalkan dan tidak seperti Galaxy A5 panel belakang ini boleh dibuka. Dari panel yang terbuka anda boleh mengakses slot SIM Mikro serta slot kad MikroSD. Bercakap tentang kad MikroSD, Note Edge menyokong penambahan memori dalaman sehingga 128 Gigabyte. Kemasan masih lagi berkualiti tinggi seperti yang dilihat pada Note 4 sebelum ini. Butang home fizikal terletak pada bahagian hadapan diapit oleh butang kapasitif multi tasking dan back. Butang yang sama mempunyai sensor membaca cap jari. Pada bahagian kiri terdapat butang suara manakala pada bahagian atas terdapat butang kuasa, jack fon kepala dan juga pemancar infra merah. Slot pengecasan USB 2.0 terletak pada bahagian bawah peranti. Akhir sekali pembesar suara mono dan pengesan nadi terletak di bahagian belakang.

Lima pintas pantas yang sebelum ini diletakkan pada bahagian bawah skrin kini diletakkan pada skrin sisi. Hanya butang panggilan telefon dan butang talam aplikasi kini diletakkan pada bahagian bawah. Perubahan lokasi butang ini adalah sedikit canggung pada awalnya kerana sudah bertahun kami menggunakan peranti dengan butang telefon, SMS, talam aplikasi, kamera dan Chrome pada bahagian bawah. Kami akan menerangkan dengan lebih banyak tentang penggunaan skrin sisi di bawah. Tetapi buat masa ini bagi pengguna bertangan kanan, lokasi butang pintasan pada skrin sisi sebenarnya adalah mesra pengguna

[amanz-gallery]


Touchwiz

Jelaslah dengan hanya menyahaktifkan fungsi tambahan, perbezaan dari segi kelancaran dapat dilihat dengan jelas 

Jika anda seorang pengguna peranti Samsung sebelum ini tidak banyak perubahan besar dilakukan pada paparan antaramuka. Fungsi-fungsi tambahan seperti Smart Stay dan Smart Scroll Samsung dikekalkan. Kesemua fungsi tambahan ini disertakan bagi memudahkan anda menggunakan Note 4 sebagai peranti harian anda. Persoalan sama ada anda akan menggunakan kesemua fungsi tambahan ini ataupun tidak adalah tidak penting. Adalah lebih baik mempunyai fungsi tambahan dari tiada langsung. Pengguna peranti Nexus ataupun Android Vanilla akan faham dengan kenyataan ini.

Seperti yang ditunjukkan pada Samsung Galaxy A5, majoriti fungsi tambahan rekaan Samsung tidak diaktifkan ketika kali pertama peranti dihidupkan. Ini membuatkan Note Edge terasa lebih pantas jika dibandingkan dengan Note 4. Kedua-dua peranti mempunyai spesifikasi yang setanding dan kami sedari masalah sela masa yang menjelikkan pada Note 4 tidak berlaku pada Note Edge. Jadi jelaslah dengan hanya menyahaktifkan fungsi tambahan, perbezaan dari segi kelancaran dapat dilihat dengan jelas.

Untuk Note 4 perubahan pertama yang anda akan sedar ialah cara skrin multi tasking dipaparkan. Ianya mirip yang digunakan pada Android Lollipop. Kesemua aplikasi yang dilancarkan disusun secara bertingkat seperti di dalam ruang tiga dimensi. Ikhlas kami katakan sistem paparan bertingkat ini mungkin kelihatan cantik tetapi secara pratikalnya ianya tidak mesra pengguna. Pada hemat kami (dan anda boleh tidak bersetuju) paparan multi tasking yang digunakan pada peranti HTC melalui Sense 5.0 ke atas adalah lebih praktikal. Anda hanya boleh melihat sehingga 5 aplikasi yang dilancarkan menggunakan antaramuka Lollipop. Pada Sense 9 aplikasi terakhir akan dipaparkan. Sebagai seorang pengguna yang melancarkan banyak aplikasi serentak paparan antaramuka multi tasking Sense adalah jauh lebih baik. Tidak perlu mentatal atas dan ke bawah untuk mencari aplikasi yang terselindung di dalam carousel bertingkat Lollipop.

Multi Window dan Pop Up Baharu

Dari paparan multitasking kini anda boleh melancarkan dua aplikasi serentak Multi Window. Aplikasi yang boleh menggunakan Multi Window akan mempunyai ikon berkotak pada skrin multi tasking. Tekan ikon ini dan skrin secara automatik terbahagi kepada dua. Senarai aplikasi lain yang boleh menggunakan mod multi window akan turut dipaparkan. Perubahan ini mungkin kecil tetapi mempercepatkan proses melancarkan skrin multi window berbanding versi terdahulu.

Selain itu melancarkan mod pop up window juga lebih mudah. Tiada butang khas perlu ditekan. Hanya lakukan tatalan dari atas skrin ke bawah. Aplikasi yang boleh dikecilkan di dalam mod pop up akan muncul di dalam tetingkap kecil seperti di dalam gambar di bawah. Antara aplikasi yang boleh melakukan mod pop up ialah kamera, Chrome, WhatsApp dan S Note. Dari skrin tetingkap mini ini anda boleh mengecilkannya lagi sehingga ia kelihatan seperti ikon bulat yang terapung pada kesemua skrin. Pada gambar di bawah aplikasi kamera telah kami kecilkan dan ia kini digambarkan di dalam bentuk ikon bulat kamera. Ini sebuah lagi inovasi yang dilakukan Samsung. Ianya sangat berguna tetapi kami berharap lebih banyak aplikasi akan menyokong mod tetingkap kecil ini.

 

 

Stylus Dan S Note

Stylus berteknologi Wacom digunakan sekali lagi tetapi kali ini dengan 2048 tahap kepekaan. Ini adalah dua kali ganda dari yang digunakan pada Note 3. Sebagai perbandingan tahap kepekaan stylus pada Note 1 adalah hanya 256 . Menurut Samsung ini akan membuatkan menggunakan stylus pada Note 4 akan terasa lebih lancar dan semula jadi. Harus kami akui stylus Note 4 adalah yang paling lancar yang pernah kami gunakan pada peranti phablet. Perubahan lain yang dilakukan ialah pada fungsi Air Command. Kini hanya terdapat empat pilihan berbanding lima. Pilihan untuk S Finder tidak lagi wujud keran ianya kini boleh dilancarkan terus menerusi talam notifikasi.

Pada Note 4 anda juga boleh mengambil screenshot berkali-kali menggunakan stylus. Setiap kali ruang skrin ditangkap menggunakan stylus terdapat pilihan untuk menyimpannya seperti fungsi clipboard pada sebuah PC. Kesemua gambar skrin yang ditangkap kemudian boleh disimpan di dalam buku notanya sendiri melalui aplikasi S Note. Kepelbagaian fungsi yang digandingkan dengan stylus dengan kepekaan tinggi mengukuhkan Note sebagai phablet berstylus terbaik di pasaran.

Penggunaan Skrin Sisi

Baiklah mari berbincang tentang skrin sisi Note Edge. Apakah yang boleh adan lakukan dengan skrin tambahan ini? Pertama sekali seperti yang kami katakan pada awal ulasan kesemua butang pintasan yang dahulunya pada bahagian bawah skrin kini dipindahkan ke skrin tepi ini. Jika anda memegang peranti menggunakan tangan kanan anda dengan mudah boleh melancarkan aplikasi yang telah adan tetapkan pada skrin tepi ini.  Selain pintasan pantas anda juga boleh meletakkan statistik S Health, ramalan kaji cuaca, topik terkini Twitter, berita terkini dari Yahoo serta senarai nombor telefon individu yang paling kerap anda hubungi. Apabila tatalan dilakukan pada skrin sisi, paparan berbeza boleh ditunjukkan. Kustomasi lain yang boleh anda lakukan ialah meletakkan mesej peribadi dan mengubah warna latar belakang.

 

Apabila tatalan dilakukan dari atas ke bawah anda boleh mengakses panel melancarkan lampu suluh, perakam audio, jam randik dan pembaris. Ye ada aplikasi pembaris yang membolehkan anda mengukur panjang sesuatu objek dengan menggunakan Note Edge. Tatalan dari bawah pula membawa anda ke panel tetapan skrin sisi. Dari panel ini adan boleh menetapkan panel apa yang ingin diaktifkan serta beberapa pilihan lain dengan pantas.

 


Bagaimana pula sekiranya anda memegang peranti menggunakan tangan kiri?  Terdapat pilihan untuk memutarkan paparan skrin sebanyak 180 darjah apabila peranti diterbalikkan. Oleh itu secara teorinya Note Edge masih boleh digunakan pemilik kidal walaupun sedikit aneh kerana kini butang home fizikal terletak di bahagian atas dan telefon anda terbalik.

Skrin sisi ini juga memaparkan butang kawalan kamera apabila aplikasi kamera digunakan. Dalam situasi mengambil gambar selfie, kedudukan butang pengatup pada bahagian tepi memudahkan anda untuk menekannya.

Kelemahan yang kami sedari dengan skrin sisi ini kebarangkalian ianya pecah jika peranti terjatuh. Cangkerang yang dikeluarkan oleh Samsung sendiri mempunyai sisi terbuka dan tidak menjamin keselamatan skrin. Seperkara lagi apabila panggilan diterima, anda perlu mentatal dari atas ke bawah bagi menjawab panggilan. Kedudukan butang yang perlu ditatal adalah terlalu ke bawah membuatkan sukar untuk tatalan dilakukan. Menggunakan Note Edge memerlukan anda untuk mempelajari semula bagaimana memegang peranti anda supaya jari lebih mudah mengakses kesemua butang pada skrin sisi.

Sela Masa

Dalam ulasan Galaxy Note 4 tempohari kami mengeluh dengan masalah sela masa yang wujud pada sebuah peranti kelas tinggi. Sejak kebelakangan ini kami menyedari Samsung mula memperbaiki masalah sela masa mereka dengan menyahaktifkan aplikasi terbina mereka ketika peranti kali pertama dihidupkan. Hasilnya ialah Samsung Galaxy A5 yang merupakan peranti kelas pertengahan mampu berfungsi dengan lancar tanpa masalah sela masa yang kronik seperti yang kami lihat pada Note 4. Untuk Galaxy Note Edge Samsung melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan pada Galaxy A5. Peranti ini memang pantas dan lancar. Pada awalnya kami ada mengalami masalah aplikasi terhenti dengan sendiri tetapi selepas melakukan kemas kini OTA yang terkini masalah ini berjaya diselesaikan. Sungguhpun begitu sela masa masih kelihatan ketika melakukan penukaran aplikasi menggunakan skrin multi tasking. Anda masih perlu menunggu sekitar setengah saat sebelum aplikasi ditukarkan apabila terdapat terlalu banyak aplikasi aktif.


Kamera

Kamera 16 Megapixel digunakan pada Note Edge, sama seperti yang digunakan pada Note 4. Kamera Note Edge juga diberikan fungsi penstabilan imej opktikal (OIS) bagi mengurangkan gegaran ketika mengambil gambar serta video. Ia mampu mengambil video pada resolusi 4K. Terdapat juga sokongan mengambil video perlahan pada kadar 120 ataupun 240 frame sesaat.

Dari segi antaramuka pula, Samsung mengurangkan lagi jumlah pra-tetapan terbina pada skrin pilihan mod. Pada Note 4 , tujuh pratetapan disertakan tetapi pada Note Edge  hanya empat pratetapan diaktifkan. Pratetapan yang lain selebihnya perlu dimuat turun oleh pengguna.

Antaramuka aplikasi kamera berubah sama sekali dengan kesemua butang kawalan dipindahkan ke skrin sisi. Kami rasakan kedudukan butang kawalan dan pilihan yang diletakkan pada skrin sisi adalah idea yang baik. Sebelum ini apabila ingin mengambil gambar paparan viewfinder terhalang dengan butang pengatup, butang video, butang tetapan dan pelbagai elemen antaramuka yang lain. Dengan mengubah lokasi butang ke atas, kini viewfinder menjadi lebih kemas dan anda dapat melihat subjek yang ingin diambil gambarnya tanpa halangan. Butang pengatup pada bucu atas juga lebih mudah ditekan jika dibandingkan dengan butang pada tengah skrin.

 

Berikut ialah beberapa contoh gambar yang kami ambil menggunakan kamera Note Edge.





Kesimpulan Ujian Gambar

Penghasilan warna gambar Galaxy Note Edge adalah sangat baik, kualiti gambar yang terang dalam keadaan gelap dan ia dilengkapi sistem OIS.  Fungsi Wide Selfie yang diperkenalkan ialah gimik yang menarik namum saiz sensor yang kecil pada kamera hadapan tidak menghasilkan gambar dengan kualiti yang memuaskan. Sungguhpun begitu fungsi Rear Camera Selfie yang diperkenalkan adalah lebih berfungsi dan menghasilkan gambar dengan warna yang lebih bermaya.

Video

Sokongan video dengan OIS memastikan gambar yang diambil adalah stabil.


Penanda Aras

Apabila ujian penanda aras dilakukan, markah yang berjaya dicatatkan adalah sedikit rendah jika dibandingkan dengan Note 4. Sungguhpun begitu perbezaan adalah kecil dan secara ikhlasnya Note Edge berfungsi dengan lebih lancar jika dibandingkan dengan Note 4. Tiada masalah sepanjang tempoh ulasan dan kesemua aplikasi yang diuji berfungsi dengan baik.


Bateri

Bateri Note Edge hanya sebesar 3000 mAh dan ini lebih kecil berbanding Note 4. Tidak mengejutkan jangka hayat bateri Edge adalah rendah sedikit berbanding Note 4. Pada penggunaan paling berat ia bertahan selama 8 jam (skrin terpasang hampir 6 jam). Peda penggunaan sederhana ia mampu bertahan sekitar di antara 10-13 Jam bergantung kepada berapa kerap anda bergerak. Kami menyedari semakin banyak anda bergerak ketika menggunakan rangkaian 4G, semakin pendek jangka hayat bateri. Masa paling lama peranti ini dapat bertahan ialah selama 22 jam dengan penggunaan paling minima dan menggunakan WiFi sepenuhnya.

 


Kesimpulan

Gimik utama Note Edge ialah sebagai peranti pertama dengan skrin pada bahagian sisi. Dengan Edge Samsung cuba mencipta peranti baru yang akan menjadi ikutan pasaran seperti apa yang mereka lakukan 5 tahun yang lalu dengan Galaxy Note. Sebagai sebuah phablet Note Edge adalah setanding dengan Note 4. Ini tidak mengejutkan kerana Note Edge adalah sebuah Note 4 yang diberikan skrin tambahan.

Fungsi baru yang diperkenalkan pada Edge setakat ini bolehlah dikatakan tidak berapa mengujakan. Meletakkan butang pintasan pada skrin sisi memudahkan anda melakukan beberapa perkara seperti panggilan telefon dan melancarkan aplikasi kegemaran. Kemampuan memaparkan berita-berita terkini juga menarik. Fungsi baru yang paling kami gemari setakat ini ialah butang kamera yang diletakkan pada bahagian sisi. Kini viewfinder aplikasi kamera adalah bebas dari elemen antaramuka yang sebelum ini menyemakkan paparan skrin. Kini kami boleh melihat gambar yang diambil dengan lebih jelas.

Sungguhpun begitu ia turut membawakan beberapa masalah seperti ketahanan peranti. Adakah skrin sisi mampu menahan hentakan? Bagaimana pula dengan cangkerang yang kini digunakan kebanyakan pengguna bagi memastikan peranti tidak mudah rosak? Cangkerang rasmi Edge yang dihasilkan oleh Samsung sendiri tidak memberikan perlindungan secukupnya dari hentakan jika ia terjatuh pada bahagian skrin. Sokongan aplikasi  yang menggunakan skrin sisi ini juga masih lagi terhad.

Melalui Note Edge Samsung cuba mengajar kita cara baru untuk menggunakan peranti. Beberapa idea yang dipaparkan seperti di atas memang mempermudahkan penggunaan tetapi pada masa yang sama menimbulkan beberapa masalah baru. Samsung dijangka akan menggunakan skrin sisi pada model terkini Samsung Galaxy S kelak. Kami berharap mereka akan mendengar maklum balas dari pengguna dan mendengar saranan yang kami tulis di atas bagi memperbaiki fungsi skrin sisi yang masih belum optimum penggunaanya.

Samsung Galaxy Note Edge dijual pada harga RM2999. Sekiranya fungsi dan rekaan unik adalah perlu bagi anda inilah peranti yang anda nantikan. Tetapi bagi majoriti pengguna mungkin Samsung Galaxy Note 4 ialah pilihan yang lebih selamat.

PRO dan Kelebihan
  • Spesifikasi yang tinggi. Peranti berfungsi dengan lancar dan pantas. Sela masa TouchWiz kini semakin berkurangan.
  • Rekaan peranti yang unik tidak pernah dilihat di pasaran sebelum ini.
  • Kamera yang sangat baik dengan pelbagai fungsi tambahan.
  • Stylus yang mempunyai tahap kepekaan yang lebih baik berbanding Note 3. Kombinasi stylus Wacom dan aplikasi Samsung masih yang terbaik berbanding pesaing yang ada di pasaran.
KONTRA dan Kekurangan
  • Skrin sisi tidak terutup dan mungkin mudah retak sekiranya terjatuh
  • Penggunaan skrin sisi masih belum digunakan sepenuhnya dengan sokongan aplikasi tang terhad.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd