Cari @ Amanz

Pada satu acara bersama peminat PlayStation hari ini Sony Computer Entertainment Hong Kong Limited yang bertanggungjawab keatas pemasaran platform permainan mereka PlayStation mengumumkan tarikh penjualan dua permainan untuk platform PS4 mereka iaitu The Order: 1886 dan juga Bloodborne. Trailer untuk permainan ini telah diterbitkan pada tahun lepas dan pada tahun ini, peminat-peminat tempatan berpeluang mencubanya.

PS4 Event -IMG_9504

Permainan The Order: 1886 merupakan permainan aksi bercorak misi pengembaraan berlatarbelakangkan era Victora. Pemain akan memainkan watak Knights, dan akan terlibat dalam perperangan yang bakal mengubah sejarah. Permainan ini akan dijual di Malaysia pada 20 Februari bulan ini pada harga RM 179. Selain dari permainan ini, terdapat set khusus PlayStation 4 yang dijual pada harga RM1,799.

PS4 Event -IMG_9507

Bagi anda yang membuat pra-tempahan untuk permainan ini, pihak Sony menawarkan baju-T terhad kepada pembeli terawal. Bagi anda yang mempunyai keahlian PlayStation Plus, anda akan menerima diskaun 10% melalui pembelian secara muat-turun pada PS Store. Bagi ahli PSN Store, anda juga bakal menerima kandungan tambahan The Knight’s Arsenal dan juga Knight’s Endurance Pack.

Satu lagi permainan yang diumumkan pada acara bersama peminat ini adalah Bloodborne. Permainan yang bercorak hack-and-slash ini membawakan gaya permainan seperti Demon’s Souls dan pemain perlu mengembara dan menentang makhluk ganas. Sekiranya anda sukakan permainan seperti God Of War, permainan ini mempunyai corak permainan sebegitu. Permainan ini juga boleh dimainkan bersama rakan-rakan diatas talian dan akan dijual pada tarikh 24 Mac dengan harga RM 179.

PS4 Event -IMG_9522

Menariknya, permainan ini juga mempunyai edisi khusus ‘Limited Hunter Edition’ yang dijual pada harga RM229 dan menawarkan buku seni permainan ini, CD lagu-lagu didalam permainan ini serta bermacam lagi. Terdapat set khusus PlayStation 4 yang dijual pada harga RM 1,749 dan bagi mereka yang melakukan pra-tempahan, akan menerima cenderahati pembuka surat yang direka mengikut bentuk senjata permainan ini.

Ini merupakan acara pertama Sony untuk peminat tempatan untuk tahun ini dan menurut mereka berharap untuk mengadakan lebih banyak acara sebegini untuk peminat PlayStation tempatan.

PS4 Event -IMG_9537

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd