Canonical Melancarkan Ubuntu Phone Daripada BQ – Akan Dijual Di Eropah Bermula Minggu Hadapan

Canonical Melancarkan Ubuntu Phone Daripada BQ – Akan Dijual Di Eropah Bermula Minggu Hadapan

Diterbitkan pada Feb 6, 2015 oleh .

Canonical hari ini secara rasminya memperkenalkan telefon pintar daripada BQ menjalankan Ubuntu Phone, yang mana dinamakan sebagai BQ Aquaris 4.5 Ubuntu Edition. Ia merupakan variasi versi Android yang diubah menggunakan perisian Ubuntu Phone, tetapi mengekalkan spesifikasi yang dibawakan olehnya.

Telefon pertama Ubuntu Phone daripada BQ ini akan dipasarkan secara online, lebih kurang seperti apa yang dilakukan oleh Xiaomi. Siri pertama jualan akan dilakukan pada minggu hadapan, tetapi ia hanya terhad untuk pasaran Eropah sahaja buat masa ini.

UbuntuPhone BQ

BQ Aquaris 4.5 Ubuntu Edition ini membawakan skrin bersaiz 4.5-inci dengan resolusi 960×540 pixel, cip pemprosesan MediaTek empat-teras 1.3Ghz, memori sebanyak 1GB RAM, dan ruangan storan 8GB. Peranti ini turut dilengkapi kamera belakang 8-megapixel dan kamera hadapan 5-megapixel. Telefon ini membawakan harga sebanyak €169.90 (~RM681) di Eropah.

Ubuntu Phone BQ

Platform Ubuntu Phone sedia dinantikan ramai sejak ia telah diumumkan sebelum ini. Ia merupakan variasi Ubuntu yang dioptimasikan untuk skrin telefon, yang mana hadir dengan sokongan gesture, selain antaramuka yang kemas dan menarik. Pihak Ubuntu telah sedia menawarkan platform pembangunan mereka untuk peranti Nexus sebelum ini, dan semestinya pelancaran peranti menggunakan Ubuntu Phone ini akan membuatkan ia lebih mudah dipasarkan dan menarik minat ramai.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah pihak Meizu yang juga rakan kerjasama Canonical akan mula menawarkan Ubuntu Phone mereka.


TIPS & ULASAN