Cari @ Amanz

Akhir-akhir ini, banyak laman Instashop (kedai online yang dibuka melalui akaun Instagram) menjual iPhone dengan harga yang jauh lebih murah berbanding harga rasmi. Bayangkan, sebuah iPhone 5s yang dijual pada harga rasmi RM1999 boleh didapati dengan harga RM1699 pada laman Instashop ini. Malah, iPhone 5 yang sudah ditamatkan pengeluarannya pada September 2013 kini secara tiba-tiba boleh didapati dalam bentuk set baru.

Instashop

Tawaran yang hadir pada laman Instashop ini sememangnya menarik namun pernahkah anda terfikir bagaimana mereka mampu menjual iPhone yang jauh lebih murah berbanding di pengedar rasmi? Bagaimana pula iPhone 5 kini boleh tampil dengan set baru sedangkan hampir setahun setengah sudah ditamatkan pengeluarannya? Perkara ini semestinya dijayakan dengan penjualan set refurbished/recondition.

Apa yang menjadi isu di sini, kebanyakan penjual tidak menyatakan keadaan sebenar iPhone yang dijual sama ada betul-betul original dari Apple atau dari sebuah telefon refurbished/recondition set. Ini mengelirukan banyak pihak terutamanya dari segi penebusan waranti yang mana ia tidak diterima melalui Apple Malaysia.

iPhone Refurbished

Seperti kes di atas, kebanyakan penjual iPhone refurbished/recondition sendiri kurang mengenali keadaan sebenar iPhone yang dijual. Apa yang mereka sedia maklum, iPhone yang dijual adalah sebuah iPhone original.

iPhone recon, motherboard sahaja original. Tapi body, bateri, dan akesesori semua dari third party yang tidak lagi original.Tapi memang ya, iPhone recon tetap iPhone original. Bukan fake, bukan China set (telefon tiruan) dan bukan body iPhone dalam pakai Android. Itu sebab penjual yakin yang mereka menjual iPhone original.

iPhone recon masih iPhone original? Ya. Masih original. Maksud original di sini ialah motherboard sahaja yang original. Itu sebab kenapa ia boleh menjalankan iOS dan bukan sistem operasi Android seperti telefon tiruan. Namun, bahagian lain seperti body, bateri, dan aksesori (charger dan Earpod) adalah dari third party dan bukan lagi dari bahagian original.

Untuk memudahkan lagi anda memahami maksud refurbished/recondition, ia sebuah telefon lama yang dibarukan. Jadi di sini, motherboard dari iPhone lama akan dikeluarkan dan kemudian, ia digantikan dengan body yang baru untuk menampakkan kesan ‘baru’ tersebut. Mereka turut menggantikan bateri dan aksesori baru (majoritinya menggunakan set third party) yang menjadikan seolah-olah telefon yang anda beli adalah kelihatan seperti set baru dan bukan set ‘second hand’.

iPhone Refurbished 2

Bagaimana pula dengan refurbished set yang dijual sendiri di laman Apple? Sebenarnya, istilah refurbished/recondition bukan lah satu istilah buruk. Ia juga boleh tampil dengan istilah “officially refurbished” yang mana ia dibarukan dengan body, bateri, dan aksesori yang memang betul-betul original dari Apple.

Akan tetapi, official refurbished set yang memang dari kilang rasmi Apple tidak berlaku dekat Malaysia kerana Apple Malaysia tidak menjual refurbished set secara rasmi setakat ini. Yang ada pun refurbished set dari pengedar rasmi (seperti Machines, macstudio, Switch, EpiCentre) yang mana mereka sendiri akan membaharukan telefon tersebut (dengan aksesori original) atau membaiki telefon anda sekiranya rosak.

Waranti iPhone recon tidak boleh ditebus melalui Apple Malaysia.Bagi iPhone (refurbished/recondition) yang dijual di Instashop atau bukan dari pengedar yang sah, perlu diingatkan, iPhone recon ini menggunakan body, bateri, dan aksesori dari third party. Bermakna, majoritinya tidak tahan lama berbanding dengan sebuah iPhone yang binaan dan aksesorinya betul-betul dari keluaran original.

Sekiranya iPhone ini rosak, anda tidak boleh claim waranti dekat Apple Store sebaliknya perlu dirujuk melalui kedai yang dibeli.

Untuk melihat sama ada iPhone yang anda beli betul-betul baru dari kilang rasmi Apple, anda boleh melihat status waranti pada laman selfsolve.apple.com. Anda hanya perlu memasukkan serial number (IMEI) iPhone anda pada laman tersebut yang mana boleh diambil dengan mendail *#06#. Sekiranya anda membeli iPhone yang dikatakan baru tetapi disajikan dengan paparan seperti ini, bermakna telefon anda adalah set refurbished/recondition.

Check iPhone Original

Nasihat saya, jika anda ingin membeli iPhone refurbished/recondition sekalipun, sebaiknya cari kedai yang mempunyai kedai fizikal. Sebagai contoh, di laman Lelong.com.my, ada beberapa kedai yang menjual iPhone refurbished/recondition secara terang-terangan (tanpa perlu mengclaim diri mereka menjual iPhone original) dan menariknya, mereka juga ada kedai fizikal mereka sendiri. Perkara ini penting sekiranya iPhone recon anda rosak, pihak mereka sendiri akan membaiki iPhone anda dengan syarat waranti yang ditetapkan.

Lelong iPhone Refurbished

Kepada penjual, tidak salah untuk menjual iPhone recon sebenarnya. Nak jual, jual lah. Tapi dengan syarat kena nyatakan kepada pembeli secara terang dan bukannya dikelirukan dengan istilah “iPhone new set” atau “original set”. Sebaliknya, beritahu yang anda menjual telefon refurbished/recondition untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dari segi waranti rasmi.

Kepada pembeli juga tidak salah untuk membeli iPhone refurbished atau recondition ini. Ia menawarkan harga yang jauh lebih murah berbanding harga rasmi. Tapi seperti saya katakan di atas, ia merupakan telefon original namun hadir dengan bahagian third party seperti body dan bateri yang selalunya tidak bertahan lama. Sekiranya telefon anda rosak, anda tidak boleh sama sekali untuk claim waranti telefon tersebut melalui waranti rasmi Apple Malaysia sebaliknya perlu dirujuk di tempat anda beli iPhone tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd