Cari @ Amanz

Honor-3C-LiteM2310001

Huawei Honor 3C Lite ialah sebuah lagi peranti mampu bilik yang kini dipasarkan di Malaysia. Peranti 5″ (720P) kelas permulaan ini diperkasakan pemproses 1.3 GHz empat teras Mediatek MT6582, RAM 1 Gigabyte, dan muatan dalaman 16 Gigabyte (sokongan MikrosSD sehingga 32 Gigabyte). Kemampuan optik pula ialah 8 Megapixel pada bahagian belakang dan 2 Megapixel pada bahagian hadapan. Ia dilengkapi dua slot SIM Mikro dan hanya meyokong rangkaian 3G.

Huawei Honor 3C Lite
Pemproses 1.3GHz Empat Teras Mediatek MT6582
RAM 1 GB
Muatan Dalaman 16 GB dengan sokongan kad MikroSD 32 GB
Kamera Utama 8 MP dengan flash (Video 1080P)
Kamera Depan 2 MP (Video 720P)
Skrin 5″  IPS LCD 720P (294 PPI)
SIM/Telefoni SIM Mikro/ 3G
Bateri 2000 mAh
Harga RM 399

Tubuh Honor 3C Lite adalah diperbuat sepenuhnya daripada plastik. Sekilas pandang ia kelihatan seperti sebuah Galaxy Nexus dengan panel belakang plastik yang boleh dibuka. Apabila dibuka ia mendedahkan bateri sebesar 2000 mAh dan slot-slot SIM serta kad MikroSD. Pada sebelah kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada plasti. Pada bahagian atas terdapat jack fon kepala dan pada bahagian bawah terdapat slot USB 2.0. Pembesar suara mono terletak di bahagian belakang peranti.

Rekaan yang retro dan plastik ini digunakan kerana ianya sebuah peranti mampu milik. Tiada kemasan logam ataupun fungsi tambahan seperti pemancar infra merah disertakan. Sungguhpun agak tebal jika dibandingkan dengan peranti-peranti terkini Honor 3C Lite masih lagi selesa dipegang. Panel plastik belakang melengkung mengikut kontur tapak tangan. Panel belakang adalah licin tanpa sebarang tekstur untuk memastikan ia tidak mudah lolos dari genggaman pengguna.

Honor 3C Lite masih menggunakan butang navigasi kapasitif pada bahagian dagu. Butang home di bahagian tengah dihimpit butang back pada sebelah kiri dan menu pada sebelah kanan. Akses kepada skrin multi tasking memerlukan butang menu ditekan untuk beberapa saat. Setelah membiasakan diri menggunakan butang multi tasking khas, kami berasa agak canggung dengan penggunaan butang menu era Android Gingerbread. Sudah bertahun butang multi tasking khas diperkenalkan dan kami tidak tahu mengapa masih ada pengeluar yang masih berkeras mengekalkan butang menu. Kekurangan dari segi rekaan ialah ketiga-tiga butang tidak mempunyai lampu ataupun timbal balas haptik. Menggunakannya di dalam bilik yang gelap adalah sukar tanpa sokongan lampu.

Honor-3C-LiteM2310003


Antaramuka

Mei tahun lalu kami ada mengulas Huawei Honor 3C yang merupakan “abang” kepada 3C Lite. Pada 3C asal ia menggunakan antaramuka Emotion Engine 2.0. Banyak kustomasi dilakukan oleh pihak Huawei bagi memberikan beberapa fungsi tambahan. Pada Honor 3C Lite antaramuka peranti lebih menghampiri Android Vanilla dengan kebanyakan kustomasi Huawei dibuang. Talam aplikasi, multi tasking dan tetapan pantas adalah dua perubahan paling ketara Kami rasakan rekaan antaramuka baru ini lebih kemas untuk dilihat dan lancar berbanding versi pada Honor 3C. Sungguhpun begitu ia masih tidak mempunyai talam aplikasi seperti Android Vanilla. Sokongan mengubah tema peranti juga nampaknya dibuang. Honor 3C Lite juga mempunyai fungsi Cast Screen yang memancarkan paparan peranti kepada Chromecast. Peranti ini mungkin peranti termurah pernah kami lihat yang menyokong fungsi ini.

Pengurangan jumlah RAM memberi kesan kepada prestasi peranti. Kami menyedari masalah sela masa lebih ketara di sini berbanding pada Honor 3C. Apabila tatalan dilakukan jelas kelihatan ianya kurang lancar.



Kamera

Honor 3C Lite mengekalkan kamera utama sebesar 8 Megapixel tetapi kamera hadapan dikurangkan kepada 2 Megapixel. Kualiti video pula ialah 1080P pada kamera utama dan 720P pada kamera hadapan. Perubahan antaramuka dan fungsi dilakukan berbanding pada Honor 3C asal. Beberapa fungsi seperti   audio note dan capture smiles tidak lagi disokong. Mengapa ianya tidak lagi disertakan tidak kami ketahui kerana perubahan pada jumlah RAM sepatutnya tidak membuatkan fungsi tambahan sebegini dibuang. Menggunakan aplikasi kamera adalah mudah walaupun pengatup tidak mengambil gambar dengan pantas.

 

Berikut ialah beberapa contoh gambar yang kami ambil menggunakan kamera Honor 3C Lite. Gambar pertama ialah gambar luaran dalam keadaan cuaca yang baik.

 

Ini pula adalah gambar di dalam kawasan tertutup yang terang dengan pencahyaan semula jadi dan lampu kalimantang.



Akhir sekali ialah gambar diambil pada waktu malam dengan pencahayaan rendah.

 

Kesimpulan Ujian Gambar

Kualiti gambar yang diambil adalah lebih baik dari yang kami sangka bagi sebuah peranti murah dan hanya mempunyai sensor besaiz 8 Megapixel. Kami difahamkan 3C Lite menggunakan sensor buatan Samsung dan kualiti gambar sensor keluaran syarikat Korea ini memang baik. Penghasilan warna yang tepat, gambar yang tajam serta jelas. Kelemahan hanya berlaku sedikit dedahan berlebihan apabila terdapat sumber cahaya terang dan dalam keadaan gelap. Apabila gambar diambil dalam keadaan gelap kualiti menurun dengan masalah noise yang tinggi. Kami ada mengulas Honor 3C sebelum ini dan setahu kami sensor kamera yang sama digunakan. Aneh sekali gambar yang diambil menggunakan peranti yang lebih mahal ini tidak sebaik 3C Lite. Mungkin pihak Huawei memperbaiki perisian kamera untuk 3C Lite dan hasilnya ialah gambar yang jelas lebih baik dari 3C asal.

 


Penanda Aras

Markah penanda aras peranti ini adalah rendah. Kombinasi pemproses Mediatek generasi lama dan RAM yang kecil memberikan markah yang lebih rendah dari Moto G 2014 dan BenQ F5. Kelajuan pemproses Honor 3C Lite ialah 1.3 GHz empat teras manakala dua peranti yang disebutkan tadi ialah 1.2 GHz empat teras Snapdragon 400. Sungguhpun kelajuan pemproses adalah lebih tinggi markah yang anda lihat di bawah dicatatkan. Jelas sekali ada perbezaan ketara di antara pemproses. Peranti ini juga mempunyai masalah sela masa yang ketara. Tatalan kurang lancar dan melancarkan aplikasi permainan 3D mengambil masa yang lama. Jika anda mahu menggunakan Honor 3C Lite sebagai peranti untuk media sosial atau melayari web ia memandai tetapi jika anda mahukan lebih daripada itu prestasi peranti adalah mengecewakan.


Bateri

Bateri yang dibekalkan adalah kecil iaitu hanya 2000 mAh. Pada penggunaan berat ia bertahan sekitar 7 jam. Pada penggunaan sederhana ia mampu bertahan hampir 10 jam. Prestasi bateri seperti prestasi penanda aras adalah rendah. Pada penggunaan paling ringan ia mampu bertahan lebih kurang 14 jam.

 


Kesimpulan

Huawei Honor 3C Lite ialah sebuah peranti yang mempunyai banyak kekurangan jika dibandingkan dengan majoriti peranti yang kami ulas sebelum ini. Spesifikasinya rendah dan membuatkannya tidak berfungsi dengan selancar peranti yang lebih berkuasa. Golongan sasaran Honor 3C Lite ialah mereka yang tidak mampu membeli peranti kelas tinggi tetapi masih mahukan sebuah peranti pintar. Jika digunakan sekadar untuk bermedia sosial, bermain permainan 2D serta kegunaan paling ringan Honor 3C Lite adalah memandai. Ia mampu melakukan fungsi paling asas sebuah peranti pintar dengan bagus. Terdapat sedikit sela masa tetapi ini memang sudah dijangka bagi sebuah peranti kelas permulaan. Perkara positif yang boleh kami katakan tentang peranti ini ialah harganya yang murah hanya RM 399. Ianya juga selesa dipegang walaupun sedikit tebal kerana mempunyai panel belakang yang melengkung, Ketahanan baterinya juga adalah baik bagi peranti dengan bateri bersaiz 2000 mAh. Kami rasakan Honor 3C Lite sesuai dijadikan peranti pertama untuk kegunaan kanak-kanak.

PRO dan Kelebihan
  • Selesa dipegang walaupun agak tebal
  • Harga mampu milik RM 399
  • Kemampuan kamera yang baik bagi peranti kelas permulaan. Lebih baik daripada Motorola Moto G 2014.
KONTRA dan Kekurangan
  • RAM yang kecil hanya 1 Gigabyte
  • Kemampuan rendah

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd