Samsung Galaxy Note Edge,peranti dengan skrin sisi pertama di dunia dilancarkan secara rasminya di Malaysia hari ini. Kami telahpun menggunakan peranti inovatif ini selama dua minggu dan sangat teruja dengan beberapa fungsi baru yang diperkenalkan oleh peranti pintar ini. Penggunaan skrin sisi masih lagi baru jadi dan asing bagi majoriti pengguna di luar sana jadi kami rasakan ada baiknya jika kami menunjukkan enam penggunaan menarik skrin sisi Note Edge ini.
Pintasan Pantas Semakin Mudah Digunakan
Di dalam ulasan penuh Note Edge ada kami katakan kesemua 5 pintasan pantas yang sebelum ini diletakkan pada bahagian bawah skrin diubah ke skrin sisi sepenuhnya. Perubahan yang kecil ini menghasilkan kesan yang besar kepada penggunaan peranti dalam kehidupan seharian kami. Jika dahulu ibu jari kanan kami harus melakukan gerakan akrobatik untuk menekan pintasan pantas pada bawah skrin, kini tidak lagi. Kesemua pintasan lebih mudah diakses tanpa menyakitkan jari. Jumlah pintasan juga kini bertambah dari lima kepada lapan. Lapan pintasan pada hemat kami adalah lebih dari mencukupi untuk melancarkan aplikasi kegemaran dengan lebih pantas. Sebuah fungsi mesra pengguna yang hanya mampu dilakukan dengan penggunaan skrin sisi.
Butang Tidak Menghalang Viewfinder Kamera
Anda ingin mengambil gambar pemandangan yang cantik dan terus membuka aplikasi kamera peranti anda. Di bahagian kiri, kanan, atas dan bawah skrin kini anda boleh melihat pelbagai ikon dan butang antaramuka yang menghalang pemandangan viewfinder. Ini adalah masalah yang dilalui kesemua pengguna peranti pintar sekarang. Dengan mengalihkan kesemua elemen antaramuka ke skrin sisi, viewfinder kini memberikan pemandangan sebenar apakah objek yang ingin diambil gambarnya. Lokasi butang pengatup yang juga kini terletak pada bahagian sisi juga memudahkannya untuk ditekan.
Pada kedudukan mendatar butang pengatup terletak pada bahagian atas sebelah kanan dan jari dengan mudah menekan butang berbanding kedudukan sebelum ini di atas paparan skrin. Pada kedudukan menegak pula butang terletak di pertengahan skrin sisi. Sekali lagi jari dengan mudah dapat menekan butang pengatup terutamanya jika anda ingin mengambil gambar selfie
Menjawab Telefon
Menjawab panggilan telefon sepatutnya semudah mentatal ikon menjawab panggilan yang muncul pada peranti. Malang sekali apabila anda menggunakan phablet aksi yang mudah ini menjadi aksi akrobatik sekiranya anda memegangnya dengan sebelah tangan. Kami sudah beberapa kali melakukan drop test secara tidak sengaja ke atas beberapa phablet yang pernah kami ulas kerana peranti lolos dari pegangan. Jadi apabila Note Edge mengubah lokasi tatalan untuk menjawab panggilan ke skrin sisi ianya memang kami alu-alukan. Ibu jari dengan mudah mentatal ikon panggilan ke bawah untuk menjawab dan menarik ikon menolak panggilan ke atas apabila perlu. Tiada lagi akrobatik jari dan kebarangkalian peranti terjatuh dari genggaman.
Akses Kepada Skrin Multi Tasking Lebih Pantas
Seperkara lagi perkara baru yang diperkenalkan pada Note Edge ialah skrin multi tasking pada bahagian sisi. Anda masih boleh mengakses skrin multi tasking biasa dengan menggunakan butang multi tasking biasa. Pada skrin multi tasking asal anda perlu mentatal untuk mencari aplikasi aktif manakah yang ingin anda gunakan. Kerana saiz Note Edge yang besar, ibu jari selalunya sukar untuk menekan butang multi tasking kapasitif yang sedia ada. Dengan mengaktifkan fungsi Edge Task Manager,
Boleh Digunakan Dengan Pelancar Berbeza
Ramai pengguna Android gemar menggunakan pelancar (launcher) yang berbeza dari pelancar asal yang hadir dengan peranti. Kami sendiri gemar menggunakan pelancar Google Now pada kesemua peranti milik kami kerana ianya minimalis dan mudah digunakan. Ramai juga bertanya sama ada skrin sisi Note Edge masih boleh digunakan apabila tidak menggunakan TouchWiz. Jawapannya ialah ya, skrin masih berfungsi sungguhpun anda tidak menggunakan TouchWiz. Kesemua fungsi yang ditulis di atas masih lagi boleh anda gunakan.
Pembaris Fizikal
Dengan adanya peranti pintar banyak alatan lain pupus dari kegunaan harian. Dahulu jika anda mahu memastikan memastikan meja anda tidak senget anda menggunakan kayu penunjuk aras (spirit level). Kini anda boleh memuat turun aplikasi penunjuk aras secara percuma. Tidak perlu lagi membeli kayu penunjuk aras yang mahal. Lampu suluh juga digantikan dengan aplikasi. Tetapi satu alat yang masih belum boleh digantikan menggunakan aplikasi ialah pembaris. Kami tahu ada beberapa aplikasi pembaris di Play Store namun kami sedari ukuran senggatan yang digunakan berbeza-beza mengikut peranti. Lihat sahaja gambar di bawah. Bahagian kiri ialah ukuran dari aplikasi yang kami muat turun dibandingkan dengan pembaris sebenar dan sebelah kanan ialah aplikasi pembaris skrin sisi Note Edge. Jika anda mahukan ukuran yang tepat dengan penentukuran yang paling jitu aplikasi pembaris skrin sisi Note Edge adalah sangat berguna.