Sony Memperkenalkan Xperia E4 – Rekaan Tepi Melengkung, Bateri Bertahan 2 Hari

Sony Memperkenalkan Xperia E4 – Rekaan Tepi Melengkung, Bateri Bertahan 2 Hari

Diterbitkan pada Feb 10, 2015 oleh .

Sony pada acara IFA 2014 yang lepas telah memperkenalkan Xperia E3, dan hari ini mereka mengemaskini penawarannya, dengan memperkenalkan Xperia E4 dan dijangka akan dipertontonkan kepada umum pada acara Mobile World Congress 2015 yang dijadualkan pada awal Mac ini.

Xperia E4

Xperia E4 membawakan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan qHD, cip pemprosesan MediaTek 1.3Ghz empat-teras, memori sebanyak 1GB RAM, ruangan storan 8GB dan hadir dengan Android 4.4 KitKat.

Untuk tujuan rakaman, ia menyertakan kamera belakang 5-megapixel, dan kamera hadapan 2-megapixel. Dari segi ketahanan bateri, Sony mengatakan Xperia E3 dengan bateri berkapasiti 2300mAh ini mampu bertahan sehingga 2 hari lamanya. Fungsi STAMINA Mode turut disertakan untuk terus memanjangkan masa penggunaan peranti berkenaan.

Secara kasar, peranti ini boleh diklasifikasikan sebagai penawaran peranti asas daripada Sony. Berkemungkinan penukaran penggunaan cip Snapdragon pada E3 kepada MediaTek pada E4 mungkin tidak digemari ramai. Pada masa yang sama, peranti ini juga tidak membawakan sokongan rangkaian LTE, sekaligus memberikan petanda mungkin lebih disasarkan kepada negara-negara membangun.

Xperia E4

Salah satu perkara yang menjadi tarikan ramai pada peranti ini adalah rekaan Xperia E4 ini. Berbeza dengan rekaan peranti Xperia sebelum ini, Xperia E4 membawakan rekaan yang lebih melengkung – sekaligus memberikan idea untuk kemungkinan elemen rekaan baru yang bakal diguna-pakai Sony pada peranti mereka sepanjang tahun ini.

Harga jualannya masih tidak diketahui lagi buat masa ini. Xperia E4 dikatakan akan ditawarkan di beberapa buah negara pada penghujung bulan ini. Xperia E3 sebelum ini telah ditawarkan di Malaysia pada harga RM659.


TIPS & ULASAN