Desas-desus mengenai Galaxy S Edge bukan sesuatu yang baru. Hari ini, Bloomberg berkongsi salah satu informasi terbaru, mengatakan selain versi biasa yang hadir dengan rekaan bingkai berasaskan logam, Samsung juga akan turut menawarkan salah satu variasi peranti Galaxy S6 yang hadir dengan skrin pada bahagian kiri dan kanan.
Seperti semua sedia maklum, Samsung sedia melancarkan Galaxy Note Edge yang hadir dengan skrin pada bahagian kanan peranti. Melaluinya, pengguna boleh melihat beberapa informasi tanpa perlu mengakses skrin utama peranti.
Kini, dengan skrin pada bahagian kiri dan kanan, ia tidak diketahui bagaimanakah peranti tersebut akan berfungsi, malah adakah ia akan selesa untuk dipegang pada tangan tanpa memberikan impak terhadap input skrin.
Untuk versi biasa pula. Galaxy S6 dikatakan akan menyertakan skrin bersaiz 5.1-inci dan dilengkapi rekaan bingkai berasaskan logam – seperti pada Note 4 dan Galaxy Alpha sebelum ini.
Penerimaan Note Edge sendiri masih rendah buat masa ini, dimana salah satu sebab untuknya adalah kerana harganya yang agak tinggi berbanding pelbagai peranti lain. Ia tidak diketahui sama ada pihak Samsung telah mempunyai kapasiti pengeluaran yang tinggi untuk skrin tersebut dan mengurangkan harga peranti dengan sokongan skrin pada sisi.
Samsung menjadualkan acara pengumuman peranti baru mereka pada 1 Mac 2015 ini, dan seperti biasa, kami akan membawakan kemaskini langsung daripada acara berkenaan.