Xiaomi Malaysia Menyenaraikan Mi Power Bank Ternipis Pada Harga RM34

Xiaomi Malaysia Menyenaraikan Mi Power Bank Ternipis Pada Harga RM34

Diterbitkan pada Feb 11, 2015 oleh .

Xiaomi telah meningkatkan harga Mi Power Bank pada bulan Januari lalu, selain turut menawarkannya dalam jualan terbuka sejak beberapa minggu lepas. Kini, Xiaomi Malaysia selepas memberikan beberapa teaser untuk produk baru, mereka telah pun menyenaraikan variasi baru Mi Power Bank mereka dengan kapasiti pengecasan sebanyak 5000mAh di halaman rasmi mereka, dan membawakan tanda harga RM34.

mi power bank slim

Powerbank terbaru dari Xiaomi ini sangat nipis, dan membawakan rekaan yang elegen. Dengan ketebalan 9.9mm dan seberat 156 gram, ia boleh dikatakan senipis kebanyakan telefon pintar masa kini, atau sekitar ketebalan palam USB. Dengan kapasiti pengecasan sebanyak 5000mAh, pengguna boleh mengecas peranti mereka untuk hampir dua pengecasan. Ia juga mempunyai nilai arus output 2100mA(TYP). Model yang nipis ini telah menggantikan model lama mereka yang mempunyai kapasiti hampir serupa, iaitu model 5200 mAh yang dijual pada harga RM25 sebelum ini.

Mungkin kapasiti pengecasan tersebut sedikit namun bagi anda yang inginkan powerbank yang ringan, tipis dan mudah disimpan tanpa mengambil ruang, maka powerbank ini semestinya memenuhi kriteria tersebut.

Buat masa ini ia masih tidak boleh dibeli lagi, tetapi memandangkan mereka telah memaparkannya pada laman web, mungkin Mi Power Bank ini akan mula dijual dalam masa terdekat untuk pengguna tempatan.


TIPS & ULASAN