Cari @ Amanz

OnePlus One muncul di pasaran dunia sebagai peranti berspesifikasi tinggi dengan harga yang berpatutan. Peranti yang pada asalnya menyasarkan jualan hanya 50 000 unit kini sudah terjual hampir 1 juta unit. Apa yang membuatkan peranti ini unik ialah ianya sukar untuk dimiliki kerana menggunakan sistem jemputan. Ini membuatkan ia menjadi sebuah peranti eksklusif yang hanya digunakan oleh mereka yang berpegang kepada moto “Never Settle”. OnePlus One dijanjikan akan memasuki pasaran Malaysia hujung tahun lalu tetapi sehingga kini masih belum kelihatan kelibatnya.

Semalam kami berjaya duduk semeja dan menemubual secara eksklusif Carl Pei, salah seorang pengasas OnePlus di Kuala Lumpur. Dalam temu ramah hampir sejam kami berbicara tentang kelewatan OnePlus One, perancangan masa depan syarikat, peranti boleh pakai dan OxygenOS.

One Plus20150211_153756

Amanz : Mari mulakan dengan soalan yang paling banyak kami terima dari pembaca kami. Kita sudahpun di bukan Februari dan OnePlus One masih belum dijual di Malaysia. Apakah sebab di sebalik kelewatan penjualannya?

Carl Pei : Ya kami berjanji akan memasuki pasaran Malaysia hujung tahun lalu. Kami sebenarnya tersalah menganggar masa yang diambil untuk mendapatkan kelulusan peranti di sesebuah negara. Anda harus ingat kami syarikat yang masih muda dan purata umur pekerja kami ialah 26 tahun. Kekurangan pengalaman menyebabkan kami terlalu optimistik OnePlus One akan mudah mendapat kelulusan dan dijual di pasaran sesebuah negara. Oleh sebab itulah kami di Malaysia untuk menguruskan proses kelulusan. Kami sudah mendapat pengesahan SIRIM. Kami rasakan ia hanya kan terjual secara rasmi di sini selepas Tahun Baru Cina.

A: Adakah ianya akan dijual melalui Lazada seperti yang anda lakukan di Indonesia?

Kerjasama dengan Lazada buat masa ini hanya eksklusif untuk Indonesia. Kami sedang melakukan perbincangan dengan beberapa pihak di Malaysia untuk menjual peranti ini di sini. Yang pasti kesemua penjualan hanya akan dilakukan di atas talian bagi mengurangkan kos.

A: Seiring dengan penjualan OnePlus One di Malaysia, adakah anda turut akan membuka pusat perkhidmatan pelanggan disini?

CP : Ya kami bercadang membuka pusat khidmat pelanggan apabila peranti ini mula terjual bagi memudahkan pelanggan melakukan baik pulih. Pada masa yang sama kami akan membuka pejabat urusan untuk rantau Asia Tenggara. Kami masih mencari lokasi terbaik untuk membuka pejabat urusan dan Indonesia nampaknya seperti tempat yang menarik. Kami mahu lebih hampir dengan pengguna kami kerana mereka memberikan sokongan kepada kami sungguhpun peranti OnePlus tidak terjual secara rasmi di Asia Tenggara.

A : Esok kami difahamkan maklumat lebih lanjut mengenai OxygenOS akan dikeluarkan pihak anda. Bolehkan anda berkongsi sedikit sebanyak tentang sistem operasi binaan OnePlus sendiri ini?

CP : Ini telefon saya dan ia menggunakan Oxygen OS (menghulurkan OnePlus One beliau). Seperti yang anda boleh lihat ia menyerupai Android stock. Kami sedari pelanggan kami sangat menggemari Android stock tanpa terlalu banyak kustomasi. Kami juga baru sahaja mempunyai bahagian pembangunan perisian. Benda pertama yang kami mahukan ialah membina sistem operasi yang stabil dan dioptimasikan sepenuhnya. Dengan menggunakan Android stock sebagai asas kami tidak perlu melakukan kustomasi yang banyak dan sudahpun mempunyai sistem operasi dengan asas yang stabil.

One Plus20150211_153823

A : Apakah fungsi tambahan OnePlus yang disertakan pada Oxygen OS yang membezakannya dari Android Stock?

CP : Kami mengekalkan beberapa fungsi tambahan seperti tap to wake. Tidak perlu menekan butang kuasa untuk menghidupkan peranti. Kami juga mengekalkan kemampuan untuk pengguna memilih untuk menggunakan butang navigasi kapasitif atapun butang navigasi on screen seperti yang ada pada OnePlus One sekarang. Ini sahaja beberapa fungsi yang kami masukkan buat masa ini tetapi kami sering mendengar maklum balas pengguna dan akan memperkenalkan fungsi-fungsi yang dimahukan mereka di masa hadapan.

A: Jadi bilakah kemas kini OxygenOS akan diterima oleh pengguna?

CP : Kami belum ada tarik muktamad buat masa ini tetapi binaan percubaan terkini OxygenOS boleh dimuat turun pengguna bulan Mac. Terdapat banyak peraturan dan ujian perlu kami lakukan bagi memastikan sistem operasi ini berfungsi dengan baik. Selagi ianya belum sempurna kami tidak akan mengeluarkannya kepada umum.

A: Adakah OnePlus akan terus menggunakan CyanogenMod selepas ini? Terdapat khabar angin mengatakan ada pertelingkahan di antara pihak anda dan mereka?

CP : Kami tidak mempunyai isu dengan pihak CyanogenMod malahan kami masih berurusan dengan mereka untuk menghasilkan produk yang terbaik. Isu yang ada hanyalah untuk pasaran India di mana kami masih menanti keputusan mahkamah di sana. Kesemua peranti kami akan hadir dengan sistem operasi  CyanogenMod tetapi pengguna kini mempunyai pilihan memuat turun OxygenOS. Kami mahu memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih sistem operasi apakah yang ingin mereka gunakan.

A: Bagaimana pula dengan penggunaan ColorOS di pasaran China?

CP: ColorOS digunakan pada peranti pasaran Asia Timur kerana beberapa keperluan tempatan. Di China banyak perkhidmatan Google adalah dihalang dan ini memerlukan ia digantikan dengan perkhidmatan tempatan. Pengguna dari China juga menggemari rekaan antaramuka dan kustomasi berbeza dari pasaran dunia. Di Barat anda boleh lihat rekaan antaramuka yang semakin minimalis dan pengurangan fungsi tambahan menjadi trend. Di China mereka sukakan rekaan yang lebih lantang dan terang. Ini anda boleh lihat pada rekaan antaramuka peranti pengeluar dari sana. Sokongan papan kekunci bahasa China juga lebih baik pada ColorOS berbanding Android stock. Jadi oleh sebab itu ColorOS akan terus digunakan untuk pasaran China. Tetapi kami turut akan memperkenalkan Hydrogen OS

A: Hydrogen OS? Apakah itu?

CP : Hydrogen OS ataupun H2OS hanya akan kami sertakan kepada peranti OnePlus untuk pasaran China sahaja. Tetapi seperti OxygenOS pengguna China mempunyai pilihan menggunakan H2OS ataupun ColorOS. Tetapi seperti saya katakan tadi pengguna China menyukai rekaan antaramuka yang berbeza dari pengguna global. Jadi sungguhpun H2OS berasakan OxygenOS, perubahan rekaan ikon, warna dan rekaletak akan dilakukan.

A: Bolehkah anda berkongsi sedikit tentang OnePlus Two?

Kami masih melihat kepada peranti terkini yang ada di pasaran sekarang dan OnePlus Two akan mempunyai spesifikasi yang setanding.  Ia akan memperbaiki kelemahan yang ada pada OnePlus One berdasarkan maklum balas pengguna kami. Sebagai contoh panel belakang yang kami gunakan sekarang boleh digantikan dengan panel buluh, kevlar dan denim. Penghasilan panel belakang ini kami dapati amat rumit kerana integrasi NFC dan antena. OnePlus Two akan menjadi lebih modular dan panel belakang tidak akan mempunyai integrasi NFC dan antena. Kesemuanya akan terbina pada tubuh peranti bagi memudahkan panel belakang digantikan dengan pelbagai pilihan bahan binaan.

A: Bagaimana pula dengan rekaan? OnePlus One berkongsi rekaan dengan Oppo Find 7. Adakah One Plus Two akan menggunakan rekaan peranti seakan peranti terkini Oppo juga?

CP : Rekaan OnePlus Two tidak akan berkongsi dengan rekaan peranti terkini Oppo.

A: Dengan OnePlus Two adakah penjualan menggunakan sistem jemputan akan diteruskan?

Ya sistem jemputan akan diteruskan. Ini dilakukan bagi kami memastikan penghasilan memenuhi permintaan. Kami sebuah syarikat yang kecil dan tidak mampu mempunyai inventori tidak terjual. Harga jualan sedia ada hanya memberikan keuntungan yang kecil bagi setiap unit terjual. Sistem jemputan juga perlu kerana sebenarnya kami tidak mempunyai stok yang cukup untuk memenuhi permintaan. Penghasilan peranti sebenarnya mengambil masa yang lama. Masalah utama ialah mendapatkan panel LCD yang mempunyai tempoh penantian lebih 3 bulan untuk mendapatkannya dari pengeluar. Kami tidak mahu anda membeli peranti kami dan kemudian terpaksa menanti waktu yang lama untuk menerimanya. Dengan sistem jemputan kami hanya akan menjual peranti apabila stok mencukupi. Tetapi jangan risau kerana untuk OnePlus Two kami akan menghasilkan lebih banyak peranti ini untuk keluaran pertama berbanding apa yang kami lakukan dengan OnePlus One. Ianya akan lebih mudah dimiliki sungguhpun menggunakan sistem jemputan.

A : Berapa banyakkah OnePlus Two akan dihasilkan untuk keluaran pertama?

Untuk OnePlus Two kami akan menghasilkan 20-40 kali ganda lebih banyak unit berbanding keluaran pertama OnePlus One. Kami kini lebih yakin kami mempunyai produk yang mempunyai permintaan di pasaran.

A: Adakah OnePlus akan menghasilkan peranti boleh pakai dan tablet pula selepas ini?

CP: Banyak jam tangan pintar di pasaran sekarang tetapi kami merasakan ianya masih belum sempurna. Tak ubah seperti hanya demo teknologi. Kami ada menghasilkan beberapa prototaip jam tangan pintar dengan saiz serta konfigurasi yang berbeza. Pihak kami masih belum berpuas hati dengan apa yang kami hasilkan. Selagi ia belum sempurna kami tidak akan mengeluarkannya. Kami tidak mahu menghasilkan sebuah lagi demo teknologi di pasaran. Berkenan tablet pula kami tidak mempunyai sebarang perancangan menghasilkannya.

A: Mengapa?

Kami lihat Apple dan Google sudah menghasilkan tablet yang terbaik dam kami tidak mempunyai apa-apa yang baru yang kami boleh perkenalkan kepada pasaran. Kami masih percaya telefon pintar adalah aset yang paling penting untuk gaya hidup digital sekarang. Oleh itu kami akan menumpukan tenaga kami kepada telefon pintar dan cuba menghasilkan yang terbaik.

A: Adakah pihak anda akan menghasilkan peranti kalis air pada masa hadapan?

CP : Kami banyak membaca maklum balas negatif mengenai fungsi kalis air dari pengguna di luar sana. Ada pengeluar yang menghasilkan peranti kalis air enggan mengotakan janji jaminan apabila berlaku kerosakan apabila peranti dimasuki air. Jika anda menghasilkan peranti kalis air mengapa tidak mahu membaiki kerosakan menggunakan jaminan sedia ada? Kami tidak mahu menjadi seperti mereka dan mungkir janji bila peranti dihantar untuk diperbaiki. Oleh itu kami tiada perancangan menghasilkan peranti kalis air buat masa ini kerana ia bukan fungsi yang dimahukan kebanyakan pengguna.

A : Akhir sekali apakah perbezaan paling nyata diantara pengguna peranti di Asia dan Barat?

CP: Asia bagi kami lebih menjurus kepada pengguna di China. Kami dapat melihat pengguna di luar China kurang prejudis dengan peranti keluaran kami. Sebagai contoh pengguna China adalah lebih sinikal apabila produk baru memasuki pasaran. Pada pendapat mereka peranti baru tidak mungkin sebaik peranti keluaran luar seperti Apple ataupun Samsung. Pengguna luar lebih terbuka menerima produk baru dan akan menggunakannya sekiranya ia adalah baik. Hasil daripada ulasan-ulasan baik dan pelbagai anugerah yang kami terima dari media luar, kami sedari produk OnePlus kini mula mendapat tempat di China. Pengguna China akhir menyedari kami juga sebaik produk keluaran Barat.

A: Ada pesanan buat pengguna dan peminat OnePlus Malaysia?

CP : Terima kasih atas sokongan anda walaupun kami masih belum menjual peranti kami di sini secara rasmi. Terima kasih kerana sudi bersabar. Kami akan melakukan lebih banyak pertemuan dua muka bersama dengan anda semua seperti apa yang dilakukan Disember tahun lalu.

 

 

 

 

 

 

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd