Asus Mungkin Hadir Dengan Jam Tangan Pintar Tanpa Menggunakan Android Wear

Asus Mungkin Hadir Dengan Jam Tangan Pintar Tanpa Menggunakan Android Wear

Diterbitkan pada Feb 17, 2015 oleh .

Asus pada tahun lepas telah memperkenalkan ZenWatch, yang mana merupakan jam tangan pintar berasaskan Android Wear. Ia hanya ditawarkan di beberapa buah negara sahaja, dan kini dilihat gergasi teknologi dari Taiwan berkenaan telah pun membuat beberapa perancangan untuk generasi baru peranti dibawah keluarga jam tangan pintar.

ASUS ZenWatch-03

Sebelum ini, kita sedia mendengar mengatakan Asus telah pun dalam proses membangunkan jam tangan pintar generasi kedua yang ingin menawarkan masa bertahan bateri yang lebih lama. Asus sedia mengatakan mereka akan menggunakan Android Wear pada jam tangan generasi baru, tetapi pada masa yang sama turut melihat kepada beberapa perkara lain.

Menurut laporan FocusTaiwan, Asus dikatakan turut sedang membangunkan jam tangan pintar dengan bateri bertahan sehingga tujuh hari, tetapi menggunakan sistem operasi berbeza, serta cipset yang lebih ringkas. Ia dikatakan mungkin dijana menggunakan cip MediaTek, dan masih pada peringkat pembangunan.

Seperti ramai sedia maklum, arena jam tangan pintar masih baru, dan ramai pengguna masih tidak melaburkan wang untuk mendapatkannya, memandangkan harga jualan yang masih tinggi, selain masa bertahan bateri yang rendah.

Pelbagai syarikat pengeluar sedang melihat kepada beberapa alternatif lain dalam membawakan masa bertahan bateri lama, termasuk HTC yang dikatakan ingin turut hadir dengan sistem operasi tersendiri. Samsung sedia melabur pada Tizen untuk jam tangan pintar, yang sedia membawakan masa penggunaan sehingga tiga hari buat masa ini. Pada masa yang sama, Apple turut dilihat ingin menyertai arena sama tidak lama lagi, dan salah satu perkara yang turut menjadi titik persoalan adalah masa bertahan jam tangan pintar berkenaan kelak.


TIPS & ULASAN