Cari @ Amanz

TwitterPada hari ini, sejumlah syarikat menggunakan akaun Twitter dan kata laluan yang sama dalam membuat perkongsian, terutamanya jenama, organisasi dan sebagainya. Mengenal pasti perkara ini, Twitter hari ini memperkenalkan TweetDeck Team.

Melalui fungsi yang hadir melalui TweetDeck untuk Windows, web dan Chrome ini, seseorang boleh menambah akaun pengguna lain untuk menguruskan sesuatu profil Twitter – tetapi memerlukan pengguna yang ditambah tersebut turut menggunakan TweetDeck untuk mengaksesnya. Sebaik sahaja selepas menambah seseorang pengguna untuk menguruskan sesuatu akaun, mereka akan menerima notifikasi, dan mula berkongsi kemaskini dan Tweet dengan mudah menggunakan Twitter.

Twitter menawarkan dua jenis pengurusan melalui fungsi ini, iaitu Admin dan juga Contributor. Admin seperti biasa boleh menambah pengurus baru untuk menguruskan sesuatu akaun, menghantar Tweet, mengikuti akaun lain, dan beberapa perkara lain. Sementara Contributor pula hanya dibenarkan untuk menghantar Tweet sahaja menggunakan akaun tersebut.

Fungsi baru ini semestinya diminati ramai pengguna seluruh dunia, sekaligus memudahkan lagi pengurusan sesuatu akaun jenama dan organisasi tanpa masalah sekuriti seperti sebelumnya.

Bagi anda yang berminat untuk menggunakannya, anda boleh mencubanya melalui TweetDeck yang ditawarkan untuk Chrome, web dan juga Windows hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd