Cari @ Amanz

GuradBotTentera laut Amerika Syarikat baru sahaja memperlihatkan robot SAFFiR yang mampu memadamkan api di atas kapal. Sebelum itu tentera darat mereka berjaya menjalankan ujian sistem konvoi kenderaan tanpa pemandu AMAS. Umum kita ketahui teknologi dron pula digunakan tentera udara mereka untuk mengebom kem “pengganas”. Penggunaan robot dan dron di dalam medan pertempuran moden memang kini tidak dapat dielakkan. Kor Marin Amerika Syarikat juga tidak mahu ketinggalan dan mereka memperlihatkan GuardBot. Guardbot ialah robot peninjau dengan kemampuan dua alam. Ia digunakan untuk meninjau kedudukan musuh, keadaan medan peperangan dan mengesan bahan letupan sebelum anggota Marin melakukan serangan. Robot ini kelihatan seperti roda dengan dua kamera dipasang pada sisi bagi memberikan pemandangan stereoskopik. Ia mampu bergerak pada kelajuan 10 kilometer sejam di atas darat dan berenang pada kelajuan 5 kilometer sejam. Pada asalnya GuardBot dibangunkan untuk kegunaan misi ke planet Marikh tetapi selepas projek ini dihentikan ia diubahsuai pula untuk kegunaan ketenteraan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd