Sony pada tahun lepas telah mengasingkan operasi VAIO, dan hari ini, syarikat teknologi terkemuka tersebut turut mengumumkan mereka akan mengasingkan unit video dan audio di Sony kepada sebuah syarikat berasingan dan beroperasi sebagai subsidiari penuh milik Sony.
Langkah ini merupakan salah satu langkah yang dipilih Sony dalam membawa syarikat tersebut beroperasi dalam keuntungan kembali. Selain mengasingkan unit video dan audio, Sony juga turut akan melakukan penstrukturan semula dalam syarikat, dan akan mengecilkan saiz ibu pejabat mereka.
Bercakap mengenai perancangan akan datang, pihak Sony akan memfokuskan kepada bahagian dan unit yang membawa keuntungan, termasuk unit PlayStation, media, dan juga kepada bahagian pemprosesan imej yang menghasilkan modul kamera untuk telefon pintar.
Bahagian televisyen dan telefon pintar akan masih kekal dibawah Sony buat masa ini, tetapi tidak mustahil untuk mereka menjadikannya sebagai sebuah syarikat berasingan seperti dilakukan pada VAIO sebelum ini.
Sony boleh dikatakan menghadapi saingan sengit dalam beberapa arena, terutamanya pada industri televisyen dan juga telefon pintar. Disamping itu, pada penghujung tahun lepas juga, bahagian Sony Pictures telah mengalami serangan siber disebabkan filem The Interview – sekaligus memberikan kesan yang besar kepada syarikat berkenaan.