Salah satu perkara menarik mengenai Apple yang digemari ramai adalah sokongan jaminan untuk produk keluaran mereka. Setelah sekian lama mendiamkan diri berkenaan dengan masalah video yang menimpa sejumlah besar Macbook Pro yang dijual antara Februari 2011 ke Disember 2013, hari ini Apple telah pun mengumumkan program membaik-pulihnya.
Antara produk yang terkesan dengan masalah ini adalah MacBook Pro 15-inci dan 17-inci yang dikeluarkan pada tahun 2011, serta Macbook Pro Retina 15-inci yang dikeluarkan antara pertengahan 2012 hingga awal 2013.
Jika anda mempunyai masalah seperti skrin komputer yang terganggu, tidak memperlihatkan video pada skrin, atau komputer dimulakan semula secara tiba-tiba, maka anda tertakluk untuk jaminan baik-pulih ini.
Apple mengatakan program baik-pulih ini ditawarkan secara percuma melalui pengedar rasmi mereka, bermula daripada 27 Februari 2015 ini. Seperti biasa, wakil di kedai pengedar rasmi Apple akan menyemak terlebih dahulu komputer anda sebelum memastikan ia tertakluk dibawah program baik-pulih ini ataupun sebaliknya.
Apple sebelum ini mendiamkan diri berkenaan masalah ini, membuatkan puluhan ribu pengguna menandatangani petisyen untuk meminta pihak Apple membaik-pulih dan mengantikannya. Kini, dengan program ini daripada Apple, mungkin ia akan mengembirakan hati sesetengah pengguna, sementara yang lain mungkin telah beralih kepada komputer riba lain atau model baru daripada Apple.