Lenovo Menawarkan Perisian Khusus Untuk Membuang Superfish Daripada Komputer Riba Mereka

Lenovo Menawarkan Perisian Khusus Untuk Membuang Superfish Daripada Komputer Riba Mereka

Diterbitkan pada Feb 21, 2015 oleh .

Salah satu topik hangat yang dibualkan pada minggu ini adalah berkenaan dengan masalah sekuriti yang dibawakan oleh perisian Superfish yang hadir terpasang pada komputer riba Lenovo. Kini, selang dua hari selepasnya, Microsoft telah pun mula menawarkan perlindungan melalui Windows Defender, dan kini Lenovo seperti yang dijanjikan mereka telah pun menerbitkan sebuah perisian khusus untuk membuangnya.

Dinamakan sebagai Superfish Automatic Removal Tool, pengguna boleh membuang segala perkara berkaitan dengan Superfish pada komputer riba mereka dengan menjalankan perisian ini. Pihak Lenovo turut menawarkan kod sumber untuknya, selain turut menyediakan cara membuang perisian Superfish secara manual pada laman panduan mereka.

Bagi yang terlepas mengenai Superfish, ia merupakan salah satu perisian yang hadir terpasang pada sejumlah komputer riba Lenovo yang dijual lewat tahun lepas. Melaluinya, ia membawakan adware, selain masalah sekuriti memandangkan ia membuat sambungan yang dipercayai di web, sekaligus membuatkan data yang dihantar dan diterima oleh pengguna terancam untuk diakses oleh pihak ketiga.

Jika anda pengguna Lenovo, anda boleh memuat-turun perisian ini, dan terus memastikan komputer riba anda kekal selamat. Jika anda membeli komputer keluaran Lenovo antara September 2014 hingga Januari 2015 lepas, mungkin anda perlu menyemak sistem anda.

Muat-Turun Superfish Automatic Removal Tool


TIPS & ULASAN