Pembangun Bebas Berjaya Menghubungkan iPhone Ke Jam Tangan Android Wear

Pembangun Bebas Berjaya Menghubungkan iPhone Ke Jam Tangan Android Wear

Diterbitkan pada Feb 23, 2015 oleh .

Android Wear iPhoneTerdapat beberapa jam tangan pintar Android Wear di pasaran hari ini, malah sesetengahnya seperti Moto 360 yang membawakan rekaan lebih cantik daripada Apple Watch. Namun, salah satu kekangan untuk jam tangan Android Wear buat masa ini adalah sokongannya yang hanya terhad untuk peranti Android sahaja.

Google sedia memberikan petanda mereka mungkin memperluaskan sokongan Android Wear untuk berhubung dengan peranti pada platform lain, tetapi tidak diketahui bilakah ia akan dijayakan.

Sementara menantikannya, kini salah seorang pembangun bebas, yang lebih dikenali dengan nama MohammadAG di XDA telah hadir dengan solusi untuk menggunakan jam tangan Android Wear bersama-sama iPhone.

Menurut MohammadAG, beliau menggunakan sokongan ANSC (Android Notification Center Service), lebih kurang seperti digunakan oleh Pebble untuk menerima notifikasi daripada peranti iPhone. Ia menggunakan sambungan Bluetooth, dan tiada sebarang aplikasi khusus diperlukan memandangkan ia hadir terbina pada peranti iPhone menggunakan iOS7 dan terkini.

Apa pun, salah satu perkara yang menjadi kekangan hari ini adalah jam tangan pintar tersebut masih perlu melalui tetapan yang dibuat menggunakan peranti Android – serta memasang aplikasi pada jam tangan pintar. MohammadAG turut menggunakan sebuah APK khusus untuk dijalankan pada jam tangan pintar Android Wear. Kod sumber APK berkenaan dijangka dikeluarkan dalam bentuk sumber terbuka untuk lebih ramai mencubanya.

Buat masa ini, sokongan tersebut membolehkan pengguna menerima notifikasi daripada pelbagai aplikasi, dan tidak mustahil untuk kita melihat projek ini terus berkembang dengan penyertaan lebih ramai pembangun.


TIPS & ULASAN