Carian
LG
LG Memperkenalkan Empat-Telefon Pintar Android 5.0 Lollipop Berspesifikasi Pertengahan
February 23, 2015 Aman

Mobile World Congress bakal diadakan pada minggu hadapan, dan nampaknya pihak LG tidak sabar menantikannya dan hari ini telah pun memperkenalkan empat telefon pintar baru berspesifikasi pertengahan. Empat telefon pintar baru yang diperkenalkan ini masing-masing membawakan nama Magna, Spirit, Leon dan juga Joy.

Kesemua keempat-empat telefon pintar akan hadir dalam pilihan rangkaian LTE dan juga 3G – dan kedua-duanya akan membawakan rekaan yang sama. Membezakan kedua-dua versi untuk kesemua peranti ini adalah penggunaan kerangka belakang. Versi LTE menggunakan kerangka belakang dengan rekaan metalik, sementara versi 3G membawakan kerangka belakang berasaskan plastik.

LG MWC 2015

LG Magna merupakan telefon pintar dengan skrin bersaiz 5-inci, cip empat-teras 1.2Ghz atau 1.3Ghz, memori 1GB RAM, ruangan storan 8GB, kamera belakang 8-megapixel, dan juga kamera hadapan 5-megapixel. Pihak LG mengatakan bateri berkapasiti 2540mAh yang hadir pada peranti Android 5.0 Lollipop ini mampu bertahan sepanjang hari pada penggunaan kerap.

LG Spirit pula membawakan skrin bersaiz 4.7-inci dan dilengkapi cip pemprosesan serta kamera yang sama, tetapi membawakan bateri berkapasiti 2100mAh.

Spesifikasi yang ditawarkan oleh LG Leon dan juga LG Joy juga turut sama, tetapi membezakannya adalah penggunaan saiz skrin dan juga bateri. LG Leon membawakan skrin bersaiz 4.5-inci, sementara LG Joy berskrin 4.0-inci. LG Leon dilengkapi bateri berkapasiti 1900mAh, sama seperti pada LG Joy, dimana kedua-duanya boleh ditanggalkan.

LG mengatakan ia akan mula memasarkan peranti berspesifikasi pertengahan ini bermula minggu ini di beberapa pasaran terpilih.

Komen