Project Ara oleh Google ialah projek telefon pintar yang membolehkan pengguna menaik taraf komponen peranti dengan mudah mengikut keperluan. Rekaan modular dapat mengurangkan kos membeli peranti baru setiap tahun dengan hanya membeli komponen yang bersesuaian dengan keperluan anda. Nampaknya kegilaan menghasilkan peralatan modular tidak terhenti hanya pada telefon pintar,. XO-Infinity ialah komputer riba rekaan One Education dari Australia. One Education membekalkan komputer riba mampu milik kepada pelajar dari golongan kurang berada. Setakat ini 50 000 komputer riba mereka sudah digunakan oleh pelajar sekolah Australia. Dengan XO-Infinity mereka berharap sebuah komputer riba ini dapat digunakan sehingga 10 tahun. Komponen seperti pemproses, RAM, paparan dan papan kekunci boleh diubah dengan mudah selari dengan umur pengguna. Pada awalnya ia mungkin menggunakan pemproses ARM dan sistem operasi Android untuk kegunaan sekolah rendah. Apabila pelajar membesar pemproses X86 dan sistem operasi Windows boleh digunakan untuk melakukan tugasan sekolah menengah. Menurut One Education komputer riba mereka kini boleh digunakan oleh kanak-kanak seawal usia 4 tahun. Buat masa ini One Education hanya memperlihatkan rekaan konsep tetapi sudahpun selesai menghasilkan prototaip. Ianya juga hanya akan digunakan di Australia setakat ini. Sebuah idea yang menarik dan mengurangkan kos.