Carian
Pebble Hadir Dengan Pebble Time – Membawakan Skrin Berwarna, Bateri Bertahan 7 Hari
February 25, 2015 Aman

Pebble merupakan salah satu keluarga jam tangan pintar yang terkemuka di pasaran pada hari ini. Ia pada awalnya memulakan penawaran melalui Kickstarter, dan hari ini, mereka sekali lagi kembali ke Kickstarter dengan memperkenalkan Pebble Time.

Pebble Time merupakan jam tangan pintar terbaru daripada Pebble. Ia kini membawakan skrin berwarna, dan pada masa yang sama membawakan rekaan yang lebih nipis. Walaupun membawakan skrin berwarna, pihak Pebble mengatakan ia berasaskan kepada teknologi e-paper, dan sesuai untuk dilihat dibawah cahaya matahari, selain tidak menggunakan kuasa bateri yang tinggi.

Pebble Time

Pebble mengatakan jam tangan pintar baru ini masih menawarkan penggunaan bateri sehingga seminggu lamanya, dan skrinnya dilindungi dengan Gorilla Glass 3 untuk ketahanan.

Beberapa fungsi baru yang turut disertakan adalah termasuk sokongan kawalan suara untuk memudahkan mereka membalas mesej dengan pantas, antaramuka baru dipanggil Timeline yang memaparkan pelbagai notifikasi dalam bentuk garis-masa. Pengguna boleh menatal untuk melihat perkembangan harian mereka, daripada masa tidur, langkah perjalanan, sehingga melihat log-log notifikasi terus pada antaramuka sama.

Pebble Time

Pebble Time

Untuk Pebble Time, pihak Pebble masih menggunakan kempen berasaskan Kickstarter. Ketika artikel ini ditulis, Pebble Time telah pun mencapai sasaran mereka, dalam masa lebih kurang 17 minit. Dengan masa lebih kurang 31 hari lagi, ia telah pun mencapai pengumpulan sebanyak $2.6 juta. Maka tidak mustahil untuk kita melihat Pebble Time menjadi satu lagi projek popular yang pernah hadir ke Kickstarter – sama seperti versi pertama jam tangan pintar tersebut.

Komen