Apple Diminta Membayar Ganti Rugi $532 Juta Kerana Melanggar Paten

Apple Diminta Membayar Ganti Rugi $532 Juta Kerana Melanggar Paten

Diterbitkan pada Feb 25, 2015 oleh .

Apple PayApple hari ini diarahkan oleh mahkamah di Texas untuk membayar ganti rugi sebanyak $532.9 juta kerana melanggar paten milik  Smartflash LLC. Paten yang dimiliki oleh Smartflash dikatakan digunakan Apple tanpa membayar hak penggunaan harta intelek oleh dengan sengaja. Tiga buah paten yang digunakan ialah paten cara pengurusan hak milik digital, sistem storan maklumat dan sistem mengakses data pembelian di atas talian. Kesemua paten ini menurut Smartflash digunakan secara menyeluruh pada sistem iTunes milik Apple. Smartflash meminta ganti rugi sebanyak $852 juta sebagai peratusan dari jumlah jualan iTunes menerusi iPhone, iPod dan komputer Macintosh. Peguam yang mewakili Apple berhujah nilai sebenar paten Smartflash hanya sekitar $4.5 juta. Menurut mereka lagi Smartflash hanyalah sebuah syarikat patent troll yang tidak menghasilkan sebarang produk dan beroperasi dengan memeras syarikat lain dengan menggunakan tujuh buah paten milik mereka.

Pihak Smartflash pula berkata teknologi ciptaan Patrick Racz ini dipatenkan pada awal 2000 dan pernah diperlihatkan kepada Augustin Farrugia yang kini merupakan seorang pengarah kanan di Apple. Racz mendakwa pernah menawarkan penggunaan paten beliau kepada Farrugia pada harga $200 000 ketika itu. Pihak Apple akan melakukan rayuan bagi menukar keputusan ini. Selain Apple, Smartflash juga di dalam proses meminta bayaran ganti rugi daripada Samsung, Amazon dan Google di atas penggunaan paten yang sama.


TIPS & ULASAN