Carian
Volvo Akan Menguji Kereta Dipandu Automatik Di Jalan Raya Sweden Pada 2017
February 25, 2015 Aman

Volvo merupakan salah satu syarikat pengeluar kenderaan yang popular di dunia, dan mereka turut tidak ingin ketinggalan dalam perlumbaan memperkenalkan kereta dipandu automatik seperti beberapa pengeluar lain. Mereka dijangka akan memulakan ujian terbuka awal untuk kenderaan tersebut pada tahun 2017 kelak.

Volvo Automatik

Untuk fasa ujian awal, Volvo dijangka menguji dengan lebih kurang 100 kenderaan dipandu-automatik di negara Sweden. Program ujian ini akan dikenali sebagai “Drive Me”, dan melalui ujian ini pihak Volvo ingin mengumpulkan data mengenai bagaimana ia berfungsi pada keadaan dunia sebenar, selain bagaimana interaksi manusia, dan bagaimana kenderaan tersebut memberikan reaksi terhadap kenderaan yang dipandu manusia.

Volvo turut menekankan yang mana pemandu uji kenderaan berkenaan akan dikehendaki sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia untuk mengawal kenderaan secara manual – memandangkan ia masih lagi pada fasa ujian kelak.

Sejumlah pengeluar kenderaan dan syarikat teknologi telah pun melaburkan wang dalam arena ini, dan kenderaan dipandu-automatik dijangka akan dipasarkan bermula tahun 2020 kelak. Namun, ia masih tertakluk kepada beberapa keadaan, termasuk polisi pihak berkuasa tempatan di sesuatu negara.

Komen