Cari @ Amanz

Dron adalah salah satu teknologi kawalan jauh, membolehkan pengguna mengawal kenderaan atau peralatan dari satu jarak tertentu. Teknologi Dron dipopularkan menerusi industri ketenteraan dan perperangan pada awalnya namun saban hari teknologi Dron telah diaplikasikan pada pelbagai industri, termasuklah sebagai penghantar makanan, penghantaran barang, dan penyelamatan mangsa. Bagi kegunaan pengguna umum, dron untuk tujuan rekreasi semakin popular dan salah satu jenama yang sedang hangat diperkatakan adalah Ghost dari Ehang, dron yang mudah dikendalikan telah membuat kemunculan pada acara CES 2015 baru-baru ini.

Rekabentuk

Seperti drone lain, Ghost hadir dengan berjenis Quadcopter, menggunakan empat kipas yang disambungkan terus pada badannya. Ia hadir dalam pilihan warna yang menarik, iaitu hitam, biru, putih dan merah. Malahan mereka juga turut mempunyai variasi merah jambu yang telah diumumkan dalam menarik minat pengguna wanita. Sebaik keluar dari kotak, ia telah siap dipasang dengan kipas serta pengadang kipas yang juga berfungsi sebagai kaki pendaratan. 

Didalam kotaknya terdapat juga empat kipas gantian yang disediakan untuk pengguna. Selain itu terdapat manual ringkas, bateri 5400 mAh serta pengecasnya, dan juga G-Box, peranti yang wajib ada untuk menggunakannya. Antara kelebihan Ghost ialah cara untuk mengawalnya agak mudah, menggunakan telefon pintar pengguna. Pengguna perlu memuat turun aplikasi Ghost yang tersedia untuk platform Android. Terdapat juga aplikasinya untuk iOS namun masih diperingkat pembangunan buat masa ini. 

[amanz-gallery]

Ghost yang diberikan kepada kami oleh Lazada untuk tujuan ulasan ini juga didatangkan dengan kelengkapan Aerial, iaitu gimbal untuk membolehkan pengguna meletakkan kamera aksi seperti GoPro. Ia berpaksi 2D dan pengguna juga boleh mengawal paksinya melalui aplikasi Ghost. Terdapat lagi satu pilihan iaitu Aerial Plus dimana pengguna turut memperoleh kamera seakan GoPro, tetapi buatan Ghost.

Kawalan

Perkara paling penting pada dron adalah cara pengawalannya. Ehang menekankan yang mana dron Ghost keluaran mereka adalah mudah untuk digunakan, malahan pengguna hampir tidak perlu membuat apa-apa perubahan dan terus menerbangkannya. Pengguna hanya perlu menghubungkan peranti telefon pintar mereka dengan G-Box melalui Bluetooth. G-Box pula akan berhubung dengan dron Ghost melalui gelombang radio dan mempunyai jarak kawalan sejauh 966 meter.

Kawalannya memang mudah. Pengguna hanya perlu menekan butang ‘Unlock’ untuk memulakannya dan aplikasi tersebut akan menyatakan status dron, tahap kuasa bateri, serta voltan. Selepas menekan ‘Unlock’, pengguna boleh menekan ‘Takeoff’ untuk melancarkannya ke udara.  Apabila ia ke udara, butang ‘Unlock’ akan menjadi ‘Lock’.Bagi penggunaan ‘Micro Control’, drone tersebut perlu mencapai ketinggian sekitar 5 meter, dan ini digunakan bagi pengguna yang ingin mengawal dron secara terperinci. Pengguna juga boleh menetapkan hala tuju melalui peta Google Maps yang ditunjukkan pada aplikasi Ghost, dan dron tersebut akan mengikuti arahan tersebut. 

Status bateri akan sentiasa dinyatakan oleh aplikasi dan sekiranya tahap kuasa rendah, aplikasi tersebut akan memberikan amaran dan pengguna boleh menekan butang ‘Return’ yang akan membawa dron kembali ke tempat pelancaran. Sampai ke tempat pendaratan, pengguna hanya perlu menekan butang ‘Land’ dan Ghost akan mendarat dengan sendirinya. Sekiranya terdapat sebarang kecemasan, pengguna akan disyorkan untuk menekan butang ‘Hover’, kemudian ‘Land’ dan juga ‘Lock’, untuk mematikan kawalan.

Bagi mengawal perkara lain, terdapat kawalan ketinggian, kawalan putaran, serta kawalan pada gimbal 2D untuk memutarkannya secara menegak (vertical), atau menyengetkan ia pada kiri dan kanan (tilting). Tidak terdapat kawalan untuk berpusing secara mendatar (horizontal), kerana anda boleh memusingkan dron anda. 

Dron paling senang dikawal?

Ini merupakan pertama kali saya menyentuh dron dalam seumur hidup jadi saya tidak mengetahui mengenai kawalan dron yang lain. Namun dari segi kawalan melalui peranti, ia agak mudah dan tidak rumit. Fungsi ‘Auto-follow’ juga berfungsi dengan baik, membolehkan dron mengikut pengguna malahan dia akan berpusing dengan sendiri dan akan sentiasa menghadap pengguna. Bagi saya ia memang senang dikawal namun terdapat beberapa masalah lain sepanjang menggunakannya.

Satu perkara yang kurang menyenangkan adalah dron ini juga bergantung kepada lokasi GPS peranti. Sekiranya pengguna menggunakan telefon yang tidak mempunyai penerimaan GPS yang bagus, fungsi ‘Auto-follow’ mungkin bakal memberikan koordinat yang salah. Saya telah mengujinya menggunakan ASUS ZenFone 5, ASUS Zenfone 5 LTE dan juga Oppo N1. Semasa saya menggunakan ASUS ZenFone 5, ia sentiasa mengesan rumah saya sebagai lokasi pelancaran. Semasa saya mengetik ‘Auto-follow’, ia terus terbang ke altitud yang tinggi dan menghala ke rumah yang berjarak lebih dari 8 kilometer. Tiada masalah sama dihadapi pada ZenFone 5 LTE dan juga Oppo N1.

Ehang Ghost Drone -IMG_9726

Satu lagi perkara yang menimbulkan sedikit masalah adalah ketiadaan suis luaran untuk menghentikan kuasa. Oleh kerana semua kawalan melalui aplikasi, sekiranya saya ingin menetapkan GoPro, terdapat kerisauan sekiranya tertekan butang ‘Unlock’ yang akan memulakan kipasnya. Hanya apabila pengguna mencabut keluar baterinya barulah kuasa dihentikan sepenuhnya. 

Bagi memasang kelengkapan Aerial, iaitu gimbal 2D, pengguna seharusnya mengeluarkan pengadang kipas kerana ia akan mengganggu sifat aerodinamik dron ini. Malangnya, pada manual ringkas yang disertakan, tiada notis berkenannya. Pada aplikasi, sewaktu menghubungkan aplikasi ini dengan G-Box, G-Box akan menanyakan jenis dron pengguna. Saya telah memilih Aerial/Aerial Plus namun tetap memilih ‘With Protector’ kerana beranggapan ia lebih selamat. Aplikasi ini memberikan tanda tidak terdapat tetapan sebegini namun oleh kerana saya tidak mengetahuinya, saya terus terbang dengan pengadang dan melanggar pokok serta dinding, dan mengorbankan kesemua kipasnya serta satu peredam gegaran gimbal asal. 

Juga sewaktu menukar kipasnya, arahan yang disediakan pada manual yang perlu dimuat-turun dalam PDF tidak terdapat tanda yang jelas pada kipasnya, selain dari arahan untuk memastikan kipas yang terdapat tulisan menghadap motor, mengakibatkan saya terpaksa bereksperimen sewaktu pelancaran. Ini merupakan perkara yang berisiko kerana terdapat kemungkinan kipas tersebut akan patah sekiranya berputar menghentak permukaan.

Kesimpulan

Dron Ghost dari Ehang ini sememangnya satu dron yang agak mudah dikawal, dan masalah yang dihadapi lebih kepada masalah dari saya yang lebih sukakan manual lengkap dan juga peranti yang menghadapi masalah GPS. Dron ini juga dikhususkan untuk mereka yang ingin melakukan rakaman gambar dan video dari udara, kerana peredam gegarannya agak baik dan anda boleh mengawal gimbal pada kamera aksi melalui telefon bimbit pengguna. 

Dengan bateri 5400 mAh, pengguna boleh mengoperasikan peranti ini selama 30 minit tetapi dengan penggunaan 2D gimbal, ia boleh beroperasi selama 20 minit. Waktu operasi yang agak singkat dan sekiranya anda benar-benar membeli peranti ini untuk melakukan rakaman gambar dan video dari udara, berkemungkinan anda memerlukan lebih dari 2 bateri.

Buat masa ini, fungsi ‘Tilt-control’ yang membolehkan pengguna mengawal dron dengan hanya menyengetkan dan memusingkan peranti hanya tersedia untuk pembangun, dan saya tidak mengujinya. Mungkin pada ulasan lain saya akan cuba fungsi tersebut dan juga akan melakukan rakaman ‘Auto-follow’. Dron Ghost Aerial Plus ini dijual di Lazada pada harga RM2,199 dan Lazada antara yang terawal menawarkannya.

Pro

  • Kawalan yang mudah
  • Akan mempunyai kawalan ‘Tilt-control’
  • Harga yang rendah berbanding pesaing pada kelasnya.

Kontra

  • Buku panduan perlu dimuat-turun kerana panduan yang disediakan terlalu ringkas
  • Waktu pengoperasian yang singkat.
  • Info
  • Pada waktu artikel ini ditulis, Lazada turut menawarkan baucer diskaun RM200 untuk Ghost Drone Aerial Plus, yang mempunyai kamera aksi Ehang. Gunakan kod ‘DRONE200’ untuk mendapatkannya.

Ghost Drone Aerial - Markah

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd