Pandang Pertama Samsung Galaxy S6 Edge : Peranti Dwi Skrin Sisi

Pandang Pertama Samsung Galaxy S6 Edge : Peranti Dwi Skrin Sisi

Diterbitkan pada Mac 5, 2015 oleh .

Samsung Galaxy S6 Edge
Pemproses Exynos Lapan Teras 2.1 GHz + 1.5 GHz
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64/128 Gigabyte
Kamera Utama 16 MP F 1.9
Kamera Depan 5 MP F 1.9 Lensa Lebar
Skrin 5.1″ SAMOLED QHD (577 PPI)
Bateri 2600  mAh
SIM/Telefoni NanoSIM / 4G

Samsung Galaxy S6 Edge ialah variasi kepada S6 dengan dua skrin sisi. Tiada perbezaan dari segi spesifikasi dan bahan binaan di antara kedua-dua peranti ini. Ia masih diperkasakan pemproses Exynos lapan teras (2.1 GHz + 1.5 GHz) , RAM 3 Gigabyte dan muatan dalaman 32/64/128 Gigabyte. RAM dan juga muatan yang digunakan kali ini adalah dari generasi terkini yang menurut Samsung 80% lebih pantas dari generasi sebelumnya.

Skrin masih lagi bersaiz 5.1″ SAMOLED dengan resolusi QHD. Dua skrin melengkung pada sisi peranti adalah lebih kecil berbanding dengan yang wujud pada Note Edge. Pada S6 Edge masih ada sisi aluminium yang membentuk kerangka utama. Jika dibandingkan dengan S6, pada pendapat kami S6 Edge adalah peranti yang kelihatan lebih menarik. Ianya juga lebih selesa dipegang. Bahan binaan berkaca pada bahagian belakang dan hadapan nampak cukup cantik dan warna yang dipantulkan berubah-rubah mengikut sudut pandangan. Sungguhpun begitu panel kacak Gorilla Glass 4 yang digunakan terlalu mudah menjadi kotor. Ini adalah masalah yang turut kami sedari ketika menggunakan Xperia Z3. Ia mungkin bahan binaan yang cantik dan sedap dipegang tetapi terlalu mudah menjadi kotor.

Galaxy-S6-Edge-M2330030

Galaxy-S6-Edge-M2330035

Kamera utama adalah sebesar 16 Megapixel manakala kamera hadapan pula ialah sebesar 5 Megapixel. Lensa F 1.9 digunakan pada kedua-dua kamera bagi memberikan prestasi yang lebih baik di dalam keadaan pencahayaan yang kurang baik. Ketika majlis pelancaran Samsung memperlihatkan perbezaan gambar yang diambil dalam gelap oleh S6 Edge berbanding iPhone 6 Plus. Gambar dari peranti Samsung ini jelas kelihatan lebih jelas dan dengan masalah noise yang lebih rendah.

Kembali semula kepada rekaan dwi skrin sisi. Ianya digunakan bagi membolehkan  pengguna kidal menggunakan peranti ini. Komen yang paling kerap didengari dengan Note Edge ialah ianya direka untuk pengguna tangan kanan. Saiz skrin sisinya juga lebih kecil berbanding pada Note Edge. Kami rasakan rekaan S6 Edge adalah lebih baik kerana masih terdapat bahan binaan besi pada skrin sisinya. Luas permukaan skrin yang lebih kecil pada sisi mengurangkan risiko ianya akan pecah apabila peranti terjatuh secara sisi. Cangkerang rasmi S6 Edge menutupi bahagian berkaca peranti bagi memberikan perlindungan tambahan.

Galaxy-S6-Edge-M2330039

Galaxy-S6-Edge-M2330036

Selain dari skrin yang melengkung apakah lagi perbezaan di antara S6 dan S6 Edge? Pertama sekali slot untuk SIM Nano diletakkan pada bahagian atas dan bukannya pada sisi kanan. Kapasiti bateri juga ditingkatkan kepada 2600 mAh berbanding 2550 mAh pada S6. Dari reaksi yang kami lihat semalam ramai yang merungut kapasiti bateri ini adalah terlalu kecil. Pada Galaxy S5 bateri 2800 mAh digunakan. Menurut Samsung cip pemproses Exynos 7420 yang digunakan mungkin lebih berkuasa berbanding versi terdahulu tetapi lebih mejimatkan kuasa. Berdasarkan ini Samsung merasakan penggunaan bateri yang lebih kecil pada S6 Edge tidak akan memendekkan hayat penggunaan telefon pintar ini. Secara peribadi kami rasakan penggunaan bateri lebih besar adalah jauh lebih baik kerana di akhir hari pengguna masih mahu melihat spesifikasi lebih tinggi berbanding model terdahulu.


Sentuhan Baru TouchWiz

Apakah perubahan yang dilakukan pada antaramuka? Sekilas pandang tiada perbezaan boleh dilihat. Rekaan ikon dan elemen antaramuka masih kelihatan serupa. Tetapi perbezaan hanya boleh disedari apabila memasuki aplikasi tertentu. Sebagai contoh apabila membuka aplikasi telefon terdapat animasi seperti yang dilihat pada Android Lollipop stock. Animasi yang sama juga dilihat apabila membuka talam aplikasi, talam notifikasi dan skrin tetapan. Sepanjang tempoh penggunaan kami sedari animasi berjalan dengan cukup lancar sekali dan masalah sela masa yang sangat sinonim dengan TouchWiz tidak lagi kelihatan. Samsung menepati janji mereka untuk memperbaiki TouchWiz yang memang cukup bermasalah.

Terdapat juga fungsi kustomasi tema yang lebih mantap kali ini. Pada A5 kami ada merungut hanya dibenarkan memilih empat tema sahaja. Pada S6 Edge kini terdapat pilihan memuat turun tema baru dari theme store.

Seperkara lagi anda boleh mematikan deringan telefon secara automatik dengan hanya menyentuh pengesan nadi pada bahagian belakang peranti. Panggilan akan dimatikan dan secara automatik sebuah SMS akan dihantar kepada pemanggil untuk memberitahu anda sedang sibuk. Mesej yang dihantar boleh ditetapkan sendiri oleh pengguna.

Kamera Dengan Active Focus Tracking

Kamera kini boleh dilancarkan secara automatik dengan menekan butang home sebanyak dua kali. Bercakap tentang kamera, S6 Edge mempunyai kamera 16 Megapixel (F 1.9) dengan kemampuan focus tracking. Ia boleh mengesan objek yang ingin diambil dan kemudian melakukan pemfokusan aktif pada subjek sepanjang masa. Fungsi kamera lain yang diperlihatkan ialah Virtual Shot yang membolehkan anda mengambil gambar 360 darjah sesebuah objek secara berpusing. Selepas gambar diambil ia boleh diputarkan ke depan dan ke belakang dengan memiringkan peranti. Fungsi Selective Shot, Panorama, gerak perlahan dan Pro turut disertakan. Dengan fungsi Pro anda boleh mengawal parameter kamera secara manual. Terdapat juga fungsi Auto HDR yang secara automatik mengambil gambar HDR apabila perlu. Sebelum ini anda harus mengaktifkan HDR terlebih dahulu sebelum gambar diambil.Antaramula juga diubah dan kelihatan seperti Sense 6. Pratetapan uang disertakan juga berkurangan berbanding peranti Samsung sebelum ini. Sebagai contoh tiada lagi fungsi Rear Cam Selfie. Di sini ada beberapa penambahbaikan dan beberapa pengurangan dilakukan Samsung

Butang-butang kawalan kamera diletakkan kembali pada skrin utama tidak seperti pada Note Edge dimana butang kawalan diletakkan pada skrin sisi. Ini sedikit mengecewakan kerana butang kawalan yang diletakkan pada skrin sisi nampak lebih kemas. Paparan viewfinder juga lebih bersih pada Note Edge.

Galaxy S6 Edge M2330044

People Edge

S6-People-Edge-FunctionPeople Edge ialah pintasan pantas yang diletakkan pada skrin sisi. Terdapat ruang untuk meletakkan pintasan untuk 5 individu yang paling penting di dalam hidup anda. Setiap individu ini kemudian boleh diberikan kod warna tertentu oleh anda. Apabila panggilan diterima dari individu-individu ini, skrin peranti akan menyala mengikut warna yang telah anda tetapkan. Oleh itu anda boleh mengetahui siapa yang melakukan panggilan tanpa perlu melihat skrin peranti. People Edge boleh diletakkan pada sisi kanan ataupun kiri mengikut keperluan pengguna. Ini semestinya jawapan kepada masalah skrin sisi Note Edge yang tidak mesra pengguna kidal. Sekiranya anda menerima SMS ataupun terlepas panggilan dari kelima-lima individu ini sebuah tab kecil akan muncul pada skrin sisi. Ia seakan-akan nota Post-It yang anda letakkan pada tepi buku teks ketika menelaah untuk peperiksaan. Tarik tab berwarna ini dan anda boleh melihat berapa banyak mesej dan panggilan diterima dari individu tersebut.

Perbezaan S6 Edge Berbanding Note Edge

Soalan paling kerap diterima sejak S6 Edge dilancarkan ialah apakah perbezaannya jika dibandingkan dengan Galaxy Note Edge yang baru sahaja memasuki pasaran Malaysia. Perbezaan pertama ialah saiz skrin sisi yang lebih kecil. Pada Note Edge skrin mengambil 80% permukaan sisi peranti. Pada S6 Edge ia berkurangan kepada lebih kurang 50 peratus. Terdapat ruang yang cukup pada sisi S6 Edge untuk meletakkan butang kuasa pada sebelah kanan dan butang suara pada sebelah kiri. Kami lebih gemarkan rekaan skrin sisi S6 Edge kerana ianya tidak terlalu terdedah sekiranya peranti terjatuh secara sisi. Cangkerang khusus yang dihasilkan untuk peranti ini juga menutupi skrin sisi dengan lebih baik sekaligus memberikan ia perlindungan dari kerosakan. Pada Note Edge cangkerang rasmi langsung tidak menutup skrin yang terdedah. Cangkerang S6 memberikan ruang yang kecil bagi membolehkan lampu notifikasi People Edge dilihat sungguhpun dalam posisi tertutup.

Galaxy S6 Edge Galaxy-S6-Edge-M2330005

Perbezaan paling drastik ialah 80% fungsi yang diperlihatkan pada Note Edge kini tidak lagi wujud pada S6 Edge.  Kesemua pintasan pantas yang dahulunya diletakkan pada skrin sisi diletakkan semula pada bahagian bawah skrin utama. Pintasan pantas untuk pembaris, perakam suara, jam randik dan lampu suluh juga tiada. Kustomasi untuk melakukan penukaran aplikasi dengan pantas pada skrin sisi juga dihentikan. Skrin sisi kini hanya digunakan untuk People Edge, notifikasi berita terkini dan laporan cuaca.

Jadi adakah ini perkara baik ataupun buruk? Di atas kertas pengurangan fungsi yang dahulunya wujud pada Note Edge mungkin kelihatan seperti sesuatu yang negatif. Tetapi secara praktikalnya ianya tidak mendatangkan kesan yang buruk. Secara peribadi pelbagai fungsi tambahan yang diperkenalkan pada skrin sisi Note Edge tidak akan anda gunakan. Kami sendiri hanya menggunakan skrin sisi Note Edge kami untuk pintasan pantas untuk melakukan panggilan kepada 4 individu kegemaran kami. Ini sama seperti fungsi People Edge yang kini wujud pada S6 Edge.

Pengurangan fungsi kali ini sebenarnya mengurangkan fungsi yang tidak diperlukan dan hanya sebuah gimik. Apa yang dilakukan oleh Samsung pada S6 Edge (dan S6) untuk mengurangkan fungsi yang tidak diperlukan membuatkan peranti lebih lancar digunakan dan mengurangkan penggunaan RAM. Kami yakin pengguna lebih mementingkan kelancaran penggunaan peranti dari pelbagai fungsi baru yang tidak akan digunakan dalam kehidupan seharian.

Galaxy S6 Edge M2300009

 


Kesimpulan

Mana satulah lebih baik? S6 ataupun S6 Edge. Jika anda mahukan peranti yang kelihatan lebih cantik dan bergaya maka Samsung Galaxy S6 Edge ialah pilihan anda. Ianya juga lebih selesa dipegang kerana mempunyai skrin yang melengkung. Ini memudahkan genggaman ketika menggunakannya.

Tiada perbezaan besar dari segi spesifikasi di antara S6 dan S6 Edge. Bateri S6 Edge hanya 50 mAh lebih besar berbanding S6 biasa. Penambahan dwi skrin sisi juga memberikan fungsi People Edge yang tidak ada pada S6.  Adakah anda memerlukan skrin sisi pada peranti pintar? Secara peribadi kami masih belum percaya skrin sisi adalah sebuah fungsi yang diperlukan oleh semua orang. Sama seperti kami belum merasakan skrin Quad HD dan rakaman 4K adalah sebuah keperluan untuk peranti terkini. Bagi majoriti pengguna di luar sana Galaxy S6 sudah cukup untuk keperluan harian. Sama seperti Galaxy Note Edge, penggunaan skrin sisi masih lagi terlalu minima dan tidak membawakan perubahan drastik kepada penggunaan harian. Malah majoriti fungsi skrin sisi yang diperlihatkan pada Note Edge tidak lagi wujud pada S6 Edge. Samsung mungkin menyedari “inovasi-inovasi” Note Edge tidak menerima sambutan menggalakkan dari pengguna. Galaxy S6 mungkin lebih cantik tetapi adalah ia berbaloi untuk dimiliki dengan ura-ura ia mungkin hampir RM 500 lebih mahal berbanding S6 biasa?

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan premium. Gabungan kaca dan aluminium yang cantik. Terasa lebih selesa dipegang berbanding Galaxy S6
  • Spesifikasi tinggi dengan modul RAM serta memori dalaman yang pantas.
  • Antaramuka TouchWiz baru lebih ringan dan lancar. Jumlah aplikasi terpasang dikurangkan dengan drastik.
  • Kamera dengan kemampuan focus tracking dan OIS yang diperbaiki dari Note 4.
  • Lebih banyak pilihan tema.
KONTRA dan Kekurangan
  • Fungsi skrin sisi terlalu minima. Fungsi yang diperkenalkan pada Note Edge tidak wujud langsung pada S6 Edge.
  • Permukaan peranti lebih mudah kotor dan berminyak kerasan keseluruhannya diperbuat daripada kaca.
  • Tiada lagi sokongan kad mikroSD dan bateri yang boleh ditanggalkan
  • Pembesar suara menghala ke bawah

TIPS & ULASAN