Gionee merupakan salah satu syarikat pengeluar telefon pintar dari China, dan pada Mobile World Congress yang diadakan hari ini, mereka telah pun melancarkan salah satu telefon pintar terbaru daripada mereka, dinamakan sebagai Elife S7.
Gionee Elife S7 ini dikatakan oleh Gionee sebagai telefon pintar dengan sokongan dwi-SIM paling nipis di dunia – membawakan ketebalan hanya sekitar 5.5mm sahaja.
Dari segi rekaan juga, ia membawakan rekaan yang agak berbeza. Bahagian tepi peranti membawakan bingkai berbentuk U, dan pihak Gionee mengatakan ia mengambil inspirasi daripada landasan keretapi dan menawarkan binaan yang kukuh serta tidak mudah bengkok seperti iPhone 6.
Pada acara yang sama juga, Gionee turut mengatakan mereka tidak ingin menjadi pengikut iPhone dengan hadir dengan rekaan kamera tertimbul keluar, sebaliknya hadir dengan kamera belakang 13-megapixel pada peranti ini yang selari dengan rekaan kerangka belakang.
Dari segi spesifikasi, Gionee Elife S7 membawakan skrin Super AMOLED bersaiz 5.2-inci dengan paparan HD penuh, cip pemprosesan MediaTek lapan-teras 64-bit 1.7GHz, bateri berkapasiti 2750mAh, kamera belakang 13-megapixel daripada Sony, dan kamera hadapan 8-megapixel.
Telefon pintar ini dilengkapi dengan antaramuka Amigo 3.0 berasaskan kepada Android 5.0, yang mana menyertakan sejumlah ciri-ciri menarik, termasuk kebolehan mengubah warna tema dengan mudah mengikut warna persekitaran anda.
Satu lagi fungsi menarik yang kami dapati pada Gionee Elife S7 ini adalah sokongan untuk membuat panggilan palsu melalui fungsi yang dinamakan sebagai Fake Call. Menggunakannya, apabila tap padanya, ia akan melakukan panggilan palsu kepada anda – yang mana sesuai sekiranya anda ingin lari daripada sesuatu perkara.
Sejumlah sokongan lain turut ditambah pada peranti Gionee Elife S7 ini, termasuk masa bertahan bateri yang lama, sokongan audio yang baik, termasuk rakaman gambar melalui beberapa mod tambahan.
Gionee Elife S7 ini akan dijual bermula di pasaran Eropah, dan membawakan tanda harga EUR 399.