Cari @ Amanz

Asus Zenfone 2 telahpun diperkenalkan pada acara CES 2015 yang lalu. Telefon pintar ini telah menarik minat ramai pengguna kerana spesifikasinya yang menyertakan 4GB RAM dan sensor kamera sebesar 13MP. Kami berkesempatan untuk mencubanya dengan singkat pada Mobile World Congress 2015.

Asus Zenfone 2
Pemproses Intel Atom Z3560 1.8GHz/Z3580 2.3GHz
RAM 2 GB RAM / 4GB RAM
Muatan Dalaman 16GB / 32GB / 64GB  Dengan Penambahan Mikro-SD
Kamera Utama 13 MP
Kamera Depan 5 MP
Skrin 5.5 Inci IPS LCD 1920×1080 403 ppi
Bateri 3000 mAh
SIM/Telefoni Dwi-SIM, 4G LITE

Jika siri Zenfone sebelum ini hadir dengan skrin bersaiz 4-inci, 5-inci, dan 6-inci, Zenfone 2 membawakan skrin bersaiz 5.5-inci dan agak hampir saiznya dengan Zenfone 5. Kami mempunyai Zenfone 5 LTE dan membandingkannya sebelah menyebelah, dan ia dilihat hampir serupa dengan perbezaan pada saiz skrin dan rekabentuk.

Zenfone 5 yang asal mempunyai rekaan yang berkotak manakala Zenfone 2 agak melengkung pada bahagian belakangnya. Kemasan penutup belakang pula diberikan kemasan seperti ‘brushed aluminium’ dengan lubang pembesar suara pada bahagian bawah, dan turut mempunyai butang kawalan suara pada belakangnya. Di bahagian tepi peranti Zenfone 2 tidak terdapat sebarang butang, dan butang kuasa telah dialihkan ke bahagian atas peranti.

Telefon pintar ini mempunyai spesfikasi yang agak tinggi. Jika terdapat perubahan pada Zenfone 5 LTE yang tidak menggunakan cip Intel, Zenfone 2 menggunakan cip Intel Atom 64-bit Empat-teras. Terdapat dua variasi kelajuan, salah satunya dengan Intel Atom Z3560 yang berkelajuan 1.8GHz dengan memori 2GB RAM dan satu lagi yang dikuasakan oleh Intel Atom Z3580 yang berkelajuan 2.3GHz dengan memori 4GB RAM. Kedua-duanya mempunyai cip grafik PowerVR Series 6 G6430 disokong OpenGL 3.0.

[amanz-gallery]

Dari segi storan, Zenfone 2 menawarkan tiga pilihan storan iaitu 16GB, 32GB, dan 64GB. Pengguna juga boleh menambah kapasiti storan melalui ruang kad Mikro-SD sehingga 64GB. Asus juga turut menyediakan storan awan sepanjang hayat iaitu Asus Webstorage sebesar 5GB. Telefon ini juga mempunyai kapasiti bateri sebesar 3000mAh dengan teknologi pengecasan pantas.

Peranti Asus Zenfone 2 ini mempunyai skrin bersaiz 5.5-inci dengan resolusi HD penuh 1920×1080, 403ppi dan juga menggunakan paparan IPS Corning Gorilla Glass 3. Kamera Pixelmaster 2 pula telah ditambah baik, dengan sensor 13MP, f/2.0 untuk kamera utama dan sensor 5MP, f/2.0 dengan sudut besar untuk fungsi Selfie Panorama. Antara spesifikasi lain termasuklah NFC dan juga slot dwi-SIM yang menyokong LTE.

Sepanjang percubaan singkat kami, kami boleh mengatakan kamera PixelMaster 2 berfungsi dengan bagus dan memberikan efek kabur dibelakang objek yang difokuskan dengan baik. Tiada sebarang lengah masa yang dialami dan perasaan memegangnya agak premium kerana kemasan dibelakangnya. Ia juga tidak berat, dan nipis. Mungkin suis kawalan tahap bunyi agak pelik apabila ia diletakkan dibelakang peranti namun sekiranya anda pernah menggunakan peranti LG, mungkin tidak pelik untuk anda. Perihal ini mungkin kerana Asus ingin memberikan kenipisan pada peranti ini.

Selain dari itu telefon ini beroperasi menggunakan Android Lollipop dengan paparan antaramuka ZenUI yang diperbaharui. Tiada lagi paparan seumpama jalur masa pada paparan utamanya namun ia mungkin kerana tetapan peranti demonstrasi ini. Melalui perkongsian Asus Malaysia dengan kami pada bulan lepas, mungkin peranti ini bakal hadir ke pasaran tempatan seawal April 2015 dan buat masa ini maklumat berkenaan harganya bermula 199USD (~RM 732).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd