Cari @ Amanz

Bagi pengguna umum, mungkin sedia maklum berkenaan penggunaan jenama Intel Core i3, Core i5 dan juga Core i7 untuk penawaran komputer riba dan juga desktop – masing-masing menandakan penawaran asas, pertengahan dan juga tinggi, sekaligus memudahkan lagi pengguna membuat pilihan. Kini penjenamaan seumpamanya turut diperkenalkan oleh pihak Intel untuk cip pemprosesan Atom.

Bersempena dengan Mobile World Congress, pihak Intel telah mengumumkan penjenamaan untuk keluarga Atom, yang mana masing-masing membawakan nama Atom x3, Atom x5 dan juga Atom x7. Seperti untuk desktop, cip pemprosesan yang menyasarkan peranti mudah-alih ini turut dioptimasikan untuk penawaran asas, pertengahan dan juga tinggi.

Intel Atom x3 dahulunya dikenali dengan nama kod SoFia menyasarkan peranti berspesifikasi asas dan memfokuskan harga penawaran rendah – terutamanya untuk tablet, phablet dan telefon pintar. Melalui cip ini, ia menyertakan pemprosesan 64-bit Intel Atom dan sambungan rangkaian sehingga 4G LTE, selain turut melengkapkan ia dengan sokongan pemprosesan sensor imej, grafik, audio dan beberapa yang lain. Sejumlah syarikat bakal menggunakannya pada produk mereka, termasuk Asus dan juga Jolla. Selain hanya menyokong sistem operasi Android sahaja, cip ini juga turut dioptimasikan untuk telefon berasaskan Windows 10. Maka mungkin kita akan dapat melihat peranti Windows menggunakan cip Intel Atom tidak lama lagi.

Intel Atom MWC 2015

Intel Atom MWC 2015

Disamping Intel Atom x3, untuk Intel Atom x5 dan juga Intel Atom x7, ia membawakan rekaan cip 14nm yang dahulunya dikenali dengan nama kod “Cherry Trail”. Cip pemprosesan ini menawarkan sokongan 64-bit untuk Windows dan Android, dilengkapi sokongan rangkaian LTE, serta menawarkan sokongan grafik yang amat baik melalui Intel Gen 8 Graphics. Intel mengatakan sejumlah rakan kerjasama seperti Acer, Asus, Dell, HP, Toshiba dan jga Lenovo akan hadir dengan peranti mereka tersendiri – mungkin tablet atau peranti dua-dalam-satu – dan akan dipasarkan pada pertengahan pertama 2015 ini. Penggunaan rekaan 14nm ini akan membolehkan peranti berfungsi untuk masa yang lebih lama memandangkan tidak menggunakan tenaga bateri yang tinggi berbanding kebiasaan.

Intel Atom MWC 2015

Dengan penjenamaan dan penawaran baru ini, mungkin kita akan dapat melihat cip pemprosesan Intel mula digunakan dengan lebih meluas pada beberapa peranti baru yang bakal dilancarkan pengeluar pada tahun ini – selain pada masa yang sama memudahkan lagi pengguna dalam usaha membuat pilihan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd