Carian
MWC 2015: LG Watch Urbane LTE
March 3, 2015 Ikhwan Nazri

LG yang telah hadir dengan teaser peranti jam tangan pintar mereka pada minggu lepas turut menyatakan kesediaan jam tangan pintar siri Watch Urbane mereka pada model yang menyokong rangkaian LTE. LG Watch Urbane LTE yang dipamerkan di Mobile World Congress merupakan variasi model jam tangan pintar mereka yang menggunakan WebOS, dan tidak menggunakan Android Wear.

LG Watch Urbane LTE
Pemproses Snapdragon 400 1.2Ghz 1GB RAM
Bateri 700 mAh
Muatan Dalaman 4GB
Skrin 1.3-inci P-OLED 320×320 245 ppi
Sensor 9-Axis, Barometer, Pengesan Degupan Jantung
Sistem Operasi WebOS

Dari segi spesifikasi, ia membawakan paparan 1.3-inci P-OLED dengan resolusi 320×320, cip pemprosesan 1.2GHz Snapdragon 400, mempunyai memori 1GB RAM serta kapasiti storan dalaman 4GB. Ia mempunyai bateri yang besar iaitu 700 mAh dan mempunyai sensor 9-Axis, termasuklah Barometer iaitu pengesan tekanan udara dan pengesan degupan jantung. Ia turut kalis air dan debu, pada kadar ketahanan IP67. Jam tangan ini mampu beroperasi dengan sendirinya menggunakan LTE dan anda boleh melakukan panggilan melaluinya.

Jika LG Watch Urbane membawakan badan besi rata dan tidak menampilkan bezel bahagian tepi yang mempunyai tanda masa, LG Watch Urbane LTE seolah-olah mengikuti tema rekaan terdahulu mereka yang dibawakan oleh LG G Watch R. Ia agak besar, dengan rekaan yang tampak garang dan kukuh dan membawakan pelbagai fungsi tambahan berbanding LG Watch Urbane.

[amanz-gallery]

Jam tangan pintar LG Watch Urbane LTE ini beroperasi menggunakan WebOS, dan tidak menggunakan Android Wear. Paparan antaramukanya membawakan kawalan seakan-akan dial, dimana untuk menggunakannya seolah-olah memusingkan dial telefon klasik. Dengan melakukan gerakan jari secara membulat, pengguna boleh mengakses menu pada jam tangan pintar ini. Sebagai indikasi, terdapat bar halus berdekatan dengan bahagian tepi yang akan bergerak menunjukkan bilangan menu yang tersedia pada sesuatu butang. Sekiranya anda biasa dengan penggunaan Touch Wheel pada iPod terdahulu, ia mempunyai prosedur sebegitu dan tidak rumit.

MWC2015- LG Watch Urbane LTE -IMG_0207

Antara salah satu fungsi yang didemonstrasikan kepada kami adalah fungsi Walkie-Talkie, yang membolehkan pengguna bersembang dengan hanya menggunakan jam tangan ini kepada pengguna lain. Pengguna hanya perlu bersuara kepada mikrofon jam ini yang terletak pada bahagian hadapan. Satu lagi fungsi yang didemonstrasikan adalah prosedur melakukan pembayaran tanpa tunai menggunakan NFC yang terdapat pada peranti ini pada platform Cashbee.

MWC2015- LG Watch Urbane LTE -IMG_0215

Fungsi-fungsi lain yang terdapat pada jam tangan ini termasuklah kebolehan untuk melakukan panggilan, mengirim SMS, menetapkan mod terbang ketika didalam penerbangan, dan juga mengesan aktiviti kecergasan seperti berbasikal, mendaki bukit dan sebagainya. Malahan LG turut membolehkan pengunjung mencuba untuk menelefon jam tangan pintar ini secara terus dengan meletakkan nombor telefon jam tangan tersebut.

Dari segi pemakaian, ia seperti anda seorang yang sukakan jam-jam mahal seperti Rolex, Victorinox, Orient yang mempunyai saiz yang besar dan berkemungkinan tidak menjadi pilihan wanita yang inginkan jam tangan pintar. Ia seperti jam tangan pintar pada kelas tertinggi jika diikutkan pada spesifikasi, kebolehan dan kemasannya. Terdapat pelbagai pilihan tali jam untuk peranti ini. Buat masa ini, jam tangan pintar ini hanya tersedia untuk pasaran Korea Selatan tidak lama lagi dan tiada sebarang info diberikan mengenainya.

Komen