Carian
MWC 2015: Huawei Talkband N1
March 4, 2015 Ikhwan Nazri

Berbeza dengan pengeluar lain, acara Huawei telah mengetengahkan pelbagai peranti boleh pakai dan salah satu peranti yang diumumkan mereka adalah Talkband N1. Peranti Talkband N1 ialah peranti fon audio yang bukan sekadar berfungsi untuk menjawab panggilan, namun berupaya menjadi pengesan kecergasan apabila dipakai.

http://youtu.be/wL7ckgIbz3g

Huawei Talkband N1
Muatan Dalaman 4GB / 1000 lagu
Berat Kurang dari 18g
Sensor Pengesan Kecergasan
Ketahanan Kalis air dan debu IP54

Peranti fon audio ini hadir dalam pilihan tiga warna iaitu kelabu, emas dan juga merah. Warna merah tampak memikat bagi para wanita yang inginkan peranti sebegini dan dari segi pilihan warna dan kemasan permukaan, ia tampak cantik dan bahagian magnetiknya mempunyai kemasan ‘Brushed Aluminium’. Rekaannya juga membolehkan fon audio ini dicantumkan apabila tidak digunakan, menjadikan ia seakan-akan rantai leher.

Salah satu standard peranti fon audio yang boleh dipakai adalah ia mempunyai kapasiti storannya yang tersendiri. Pengguna boleh menyimpan lagu secara terus didalam Huawei Talkband N1, tanpa perlu menyimpan lagu tersebut didalam telefon pintar. Dengan ini ruang storan dalam telefon pintar dapat dijimatkan, dan tidak perlu membawa telefon pintar sewaktu melakukan aktiviti kecergasan. Kapasiti storan yang tersedia adalah 4GB dan boleh menyimpan sehingga 1000 lagu.

Fon audio ini mempunyai pengesan kecergasan yang boleh memantau aktiviti pengguna. Antara aktiviti yang boleh disukat termasuklah kalori, kiraan langkah, larian dan ia boleh menghantar data-data yang disukat kepada aplikasi kesihatan yang dicipta Huawei. Sekiranya pengguna telahpun mempunyai maklumat-maklumat kesihatan dari aplikasi lain seperti Jawbone, Fitbit, Endomondo, peranti ini mampu juga berhubung dengannya.

Dari percubaan singkat kami, kami tidak dapat memantau sebarang aktiviti dan terhad kepada memegangnya. Ini mungkin kerana seperti Huawei Watch di ruang pameran yang sama, kebanyakannya berada didalam mod demonstrasi. Peranti yang hadir pada pilihan warna emas, kelabu dan merah, dan dijual pada harga saranan 119 Euro (~RM 481) dan bakal hadir ke pasaran tempatan pada akhir bulan May 2015.

Komen