MWC 2015: ZTE Blade S6 Plus

MWC 2015: ZTE Blade S6 Plus

Diterbitkan pada Mac 5, 2015 oleh .

Baru sahaja pada akhir bulan Januari lalu pihak ZTE telah melancarkan peranti ZTE Blade S6, iaitu peranti telefon pintar mereka yang mempunyai rekabentuk seakan-akan iPhone. Pada acara Mobile World Congress mereka telah mempamerkan Blade S6 dengan saiz yang lebih besar, iaitu Blade S6 Plus.

ZTE Blade S6 Plus
Skrin 5.5-inci
Pemproses Snapdragon 615 1.5GHz Octa-core
Memori 2 GB RAM
Storan 8 GB + kad mikro-SD
Kamera Utama 13-MP Sony Autofocus
Kamera Depan 5-MP Rakaman Luas
SIM/Telefoni 2 SIM Nano / 4G LTE
Bateri 3000 mAh

Telefon pintar ini seperti namanya malahan seperti nama iPhone 6 Plus, merupakan Blade S6 dengan saiz yang lebih besar, mempunyai paparan bersaiz 5.5 inci. Rekaan luarnya tidak jauh berbeza, menggunakan material plastik yang disadur dengan material yang memberikan perasaan menyentuhnya bagaikan aluminium. Namun sedikit berbeza dengan Blade S6, Blade S6 Plus tidak mempunyai slod kad SIM dan slot kad memori dibahagian kiri peranti ini dan berkemungkinan penutup belakangnya boleh dibuka namun kami tidak dapat membukanya berikutan ini adalah model pameran.

Selain dari itu, sedikit berbeza dengan model Blade S6, ia mempunyai kapasiti storan yang berkurangan, iaitu sebesar 8GB berbanding Blade S6 yang mempunyai 16GB. Selain dari itu, antara spesifikasi lain termasuk ia menggunakan cip pemprosesan yang sama iaitu Snapdragon 615 1.5GHz empat teras, memori 2GB RAM, slot dwi-SIM 4G LTE,  kamera utama 13MP Sony BSI dan juga kamera hadapan 5MP. Namun kapasiti baterinya telah ditambah, sebesar 3000 mAh.

Salah satu perkara yang telah menjadi kebiasaan ZTE adalah fungsi kameranya yang mempunyai Expert Mode, yang membolehkan pengguna mengakses tetapan-tetapan yang disukai pengguna kamera profesional seperti ISO, penunjuk kestabilan, penetapan White Balance dan sebagainya. Peranti ini menggunakan paparan antaramuka MiFavor, dan beroperasi diatas platform Android Lollipop.

Peranti ini mungkin boleh dikelaskan sebagai phablet, dan dari segi perasaan memegangnya dan menggunakannya, ia memang saling tidak tumpah bagaikan iPhone. Mungkin kita bakal dapat melihatnya untuk pasaran tempatan pada satu masa kelak memandangkan ZTE Blade S6 sehingga sekarang masih tidak hadir ke pasaran tempatan kecuali melalui Lazada. Mungkin apabila ia dibawakan dengan rasmi oleh pihak ZTE Malaysia, kita bakal dapat melihat penawaran variasi Blade S6 Plus pada ketika itu.

Baca: Pandang Pertama – ZTE Blade S6

 


TIPS & ULASAN