MWC 2015: Lenovo Vibe Shot – Kamera 16MP Inframerah OIS, 4G LTE

MWC 2015: Lenovo Vibe Shot – Kamera 16MP Inframerah OIS, 4G LTE

Diterbitkan pada Mac 5, 2015 oleh .

Lenovo pada bulan lepas telah mengumumkan yang mereka ingin hadir dengan telefon pintar dengan fokus pada kamera, mengikuti jejak langkah Asus, Samsung, dan Nokia. Sekiranya Asus telah menampilkan Zenfone Zoom dan Samsung dengan Samsung Galaxy K Zoom, Lenovo telah pun mengumumkan Lenovo Vibe Shot dan mempamerkannya di Mobile World Congress tahun ini.

Lenovo Vibe Shot
Skrin 5-inci 1920 x1080 441ppi
Pemproses Snapdragon 615 1.7GHz Octa-core
Memori 3 GB RAM
Storan 32 GB + kad mikro-SD
Kamera Utama 16MP BSI, Inframerah, OIS
Kamera Depan 8MP Rakaman Luas
SIM/Telefoni 2 SIM Nano / 4G LTE
Bateri 2,900 mAh

Telefon pintar yang memfokuskan kepada kegunaannya sebagai kamera ini mempunyai rekaan dan kemasan yang memberikan petunjuk ia lebih sebagai camera. Di bahagian belakang peranti ini mempunyai rekaan seperti kamera Sony Cybershot, mempunyai permukaan yang licin dan permukaan yang menempatkan kamera, lampu LED dan label jenama Lenovo itu sendiri.

Pada bahagian tepi, diatas sisi kamera tersebut terdapat butang ‘shutter’ khusus untuk fungsi kamera. Butang ini berfungsi seumpama kamera biasa, membolehkan pengguna menekannya separuh untuk memfokus kepada objek, sebelum merakam gambar tersebut. Dibahagian yang sama juga terdapat butang untuk menetapkan mod ‘Smart’ atau mod ‘Pro. Mod ‘Smart’ akan menetapkan tetapan rakaman seperti ISO, White Balance secara automatik manakala mod ‘Pro’ disediakan bagi pengguna mengakses lebih banyak tetapan secara manual untuk merakamkan gambar.

Dari segi spesifikasi telefon hibrid kamera ini menyertakan sensor pengimejan sebesar 16MP BSI yang disertakan pemfokusan inframerah, lampu flash LED, dan penstabilan imej optikal. Di bahagian hadapan ia menyertakan kamera 8MP, dan bagus untuk pengguna yang turut menginginkan selfie berkualiti tinggi. Telefon ini menyertakan cip pemprosesan Snapdragon 615 1.7 GHz empat-teras 64-bit dengan cip grafik Adreno 405 GPU serta memori 3GB RAM. Telefon ini juga beroperasi pada platform Android Lollipop.

Antara spesifikasi lain termasuklah paparan skrin bersaiz 5-inci dengan resolusi 1920 x 1080 dan kepadatan pixel 441 ppi. Dari segi storan, ia hadir pada saiz 32 GB dan boleh ditambah kapasitinya menggunakan kad Mikro-SD. Penawaran storan pada saiz ini dilihat satu perkara yang bagus memandangkan telefon hibrid kamera sememangnya memerlukan kapasiti storan yang besar untuk penyimpanan gambar. Peranti ini juga mempunyai bateri berkapasiti 2,900 mAh. Menariknya telefon ini mempunyai slot dwi-SIM pada saiz Nano-SIM dan menyokong 4G LTE.

Menerusi percubaan kami, kami cuba untuk merakamkan gambar lampu seperti yang terdapat dalam video pandang pertama kami namun ia kelihatan berkelip, mungkin juga kerana tapak pameran Lenovo sentiasa bertukar warna bagaikan disko dan kami tidak mengubah tetapan dan juga shutter speed. Paparannya pula agak jelas namun tempat letak lensa kamera ini secara tidak langsung mengurangkan cengkaman pada peranti dan tidak mustahil sekiranya pengguna terlepas memegangnya semasa merakam gambar.

Lenovo Vibe Shot bakal memasuki pasaran pada bulan Jun ini pada harga 349 USD (~RM 1,279) dan buat masa ini tiada sebarang maklumat berkenaannya untuk pasaran tempatan. Jika anda mencari telefon namun pada masa yang sama menginginkan kamera sebagai fungsi paling utama, anda kini mempunyai pilihan selain dari Samsung Galaxy K Zoom dan Asus Zenfone Zoom.

Kemaskini 18 Ogos 2015: Lenovo Vibe Shot  telah mula dijual di Malaysia pada harga RM 1399.


TIPS & ULASAN