MWC 2015: LG G Flex 2 – Snapdragon 2.0 GHz 64-Bit, Kamera 13MP Laser-Autofokus OIS
LG

MWC 2015: LG G Flex 2 – Snapdragon 2.0 GHz 64-Bit, Kamera 13MP Laser-Autofokus OIS

Diterbitkan pada Mac 6, 2015 oleh .

LG telah mengumumkan peranti terbaru kemaskini kepada LG G Flex, iaitu LG G Flex 2. Telefon ini telah diumumkan pada acara CES 2015 awal tahun ini dan pada minggu ini di Mobile World Congress mereka telah mempamerkannya dan kami telah mencubanya untuk beberapa ketika.

LG G Flex 2
Skrin 5.5-inci 1920×1080 403ppi P-OLED
Pemproses Snapdragon 810 2.0GHz Octa-core 64-bit
Memori 2 GB RAM / 3 GB RAM
Storan 16/32 GB + kad mikro-SD
Kamera Utama / Depan 13MP Laser Autofokus + OIS / 2MP
Sistem Operasi Android Lollipop
Bateri 3,000 mAh

Peranti ini hadir dengan skrin melengkung, dan mengekalkan rekaan LG yang ikonik yang menempatkan butang kuasa dan butang kawalan tahap bunyi dibelakang peranti ini. Ia juga turut hadir dengan penutup belakang dengan kebolehan ‘sembuh-semula’ daripada calar. Kebolehan ini telah ditambah baik, dan calar dikatakan dapat hilang dalam masa kurang 10 saat berbanding 3 minit untuk LG G Flex sebelum ini.

Dari segi spesifikasi, keluarga G Flex merupakan keluarga berspesifikasi tinggi dan peranti terbaru ini turut membawakan pelbagai komponen pada spesifikasi tinggi. Dari segi cip pemprosesan, ia membawakan cip Snapdragon 810 2.0 GHz 64-bit lapan teras, memori dengan pilihan 2GB atau 3GB RAM dan sokongan rangkaian 4G LTE. Dari segi storan ia turut hadir pada variasi 16GB atau 32 GB dan turut menyediakan slot kad Mikro-SD untuk penyimpanan tambahan.

Antara spesifikasi lain termasuklah skrin lengkung 5.5 inci dengan resolusi 1920 x 1080 403ppi P-OLED, kamera utama 13 MP dengan laser-autofokus dan juga penstabil imej optikal, namun kamera hadapannya hanya mempunyai sensor sebesar 2MP. Agak janggal telefon pintar yang ditawarkan pada spesifikasi tinggi membawakan kamera hadapan sebesar 2MP memandangkan kebanyakan telefon pintar kini juga menawarkan sensor pengimejan yang besar untuk memenuhi kehendak mereka yang kerap merakam gambar sendiri yakni selfie.

Telefon ini beroperasi menggunakan Android Lollipop dan mempunyai bateri berkapasiti 3,000 mAh yang tidak boleh dikeluarkan. Antara fungsi-fungsi yang baru ditambah pada telefon pintar ini termasuklah fungsi Gesture Camera yang sama seperti LG Magna yang kami ulas sebelum ini, membolehkan pengguna menangkap gambar selfie menggunakan arahan suara seperti ‘cheese’ atau ‘kimchi’, atau melakukan gerakan tangan. Fungsi Glance juga membolehkan pengguna untuk melihat notifikasi dan maklumat penting dengan hanya menyeret jari semasa telefon berada dalam keadaan mod sedia.  Selain itu untuk LG G Flex 2, ia mempunyai fungsi pengecasan pantas, dimana bateri dapat di caj sehingga 50% dalam masa kurang dari 40 minit.

Buat masa ini telefon yang ditawarkan pada dua jenis warna ini dijangka akan memasuki pasaran selepas pertengahan tahun ini dan akan ditawarkan pada tiga variasi, iaitu pada versi 2GB RAM dengan storan sebesar 16GB, versi 2GB RAM dengan storan sebesar 32GB, dan juga versi 3GB RAM dengan storan sebesar 32GB. Jika sebelum ini LG tampak sering lewat membawakan peranti mereka di pasaran tempatan, kami harap peranti ini segera masuk ke pasaran sekaligus memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna di Malaysia.


TIPS & ULASAN