Carian
ATHENA : Senjata Laser Terkini Amerika Berjaya Diuji
March 9, 2015 Effi Saharudin

athena-truck-test-pirasss201501042

Teknologi senjata laser adalah sesuatu yang kerap kita kaitkan dengan fiksyen sains. Senjata laser digunakan di dalam filem seperti Star Wars dan permainan video seperti Command and Conquer. Realitinya senjata laser sedang dibangunkan untuk kegunaan di medan perak. Sebelum ini kami ada memaparkan sistem senjata HEL MD yang dicipta oleh tentera Amerika Syarikat untuk menangkis serangan mortar. Kini Lockheed Martin mengumumkan mereka berjaya melakukan ujian ke atas sistem laser yang diberi nama ATHENA ( Advanced Test High Energy Asset). ATHENA berjaya memusnahkan enjin sebuah lori dari jarak melebihi 1 batu.  Sistem laser ini mempunyai kuasa 30 KW, tiga kali ganda lebih berkuasa berbanding HEL MD. Sistem laser dibangunkan oleh Amerika Syarikat kerana ianya adalah lebih murah memusnahkan musuh menggunakan peluru dan misil.  Ianya juga mengurangkan kemusnahan pada kawasan persekitaran sekaligus mengelakkan kematian orang awam.

Sistem ATHENA berbeza dari sistem laser yang lain kerana menggunakan teknologi penggabungan pancaran spektrum. Ia memerlukan ruang yang kecil berbanding sistem laser yang dicipta sebelum ini. Buat masa ini sistem ATHENA masih belum bersedia untuk digunakan di dunia sebenar kerana di dalam ujian tembakan di atas ia memerlukan 1 minit untuk memusnahkan enjin lori yang ditembak. Tetapi di masa hadapan pihak Lockheed Martin percaya teknologi ini akan menjadi cukup matang dan boleh menghasilkan laser berkuasa 500 KW. Ini adalah cukup berkuasa untuk menangkis serangan misil supersonik. Sistem laser fiksyen sains sudah semakin menjadi realiti. Apa yang kami impikan  sekarang ialah wujudnya Kirov Red Alert 2 dan kilang senjata yang boleh terbang Starcraft. Mungkin kita perlu membina lebih banyak pylon untuk menjadikannya realiti.

 

 

Komen