Cari @ Amanz

Pelbagai peranti jam tangan pintar telah memeriahkan acara Mobile World Congress dan salah satunya adalah Acer Liquid Leap+. Acer Liquid Leap+ merupakan kemaskini kepada model Liquid Leap mereka yang terdahulu dan membawakan beberapa perubahan dan penambahan spesifikasi.

Dari segi rekaan, jam ini masih menampilkan paparan skrin sentuh 1-inci OLED yang menunjukkan jumlah langkah, kalori, dan sasaran. Tidak terdapat sebarang butang pada peranti ini dan bagi mengaktifkan fungsi dan mengakses menu, pengguna perlu menyentuhkan jari pada peranti ini. Jam tangan pintar ini juga kalis air dan mempunyai ketahanan IPX7 dan pada sekali caj ia mampu bertahan dari 5 sehingga 7 hari.

Mencubanya, perasaan memegangnya dan memakainya hampir serupa dengan Fitbit Flex namun mempunyai lebih keupayaan dan fungsi bukan sekadar pengesan aktiviti kecergasan. Antara perkara lain yang membezakan ia dengan peranti jam tangan pada kelasnya termasuklah fungsi notifikasi panggilan, SMS, emel dan kawalan lagu. Terdapat juga fungsi untuk merekod waktu tidur. Ia boleh berhubung dengan peranti iOS, Android dan juga Windows Phone.

[amanz-gallery]

Ia hadir dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, merah jambu dan hijau. Peranti jam tangan pintar ini dijual pada harga EUR 79 (~RM 315) dan pada harga sebegini, ia merupakan penawaran jam tangan pintar pada harga mampu milik. Buat masa ini tiada sebarang informasi berkenaan penawarannya di pasaran tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd