Xiaomi hari ini secara rasminya telah melancarkan telefon pintar berspesifikasi rendah mereka yang terbaru di Malaysia, iaitu Redmi 2. Redmi 2 membawakan kemaskini dari segi spesifikasi berbanding dengan Redmi 1S sebelum ini, dan pada masa yang sama membawakan sedikit perubahan rekabentuk padanya.
Xiaomi Redmi 2 menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 410 64-bit, dilengkapi memori 1GB RAM, ruangan storan 8GB dengan kapasiti mikro-SD sehingga 32GB, kamera belakang 8-megapixel, kamera hadapan 2-megapixel, serta dilengkapi dengan sokongan dwi-SIM. Xiaomi Redmi 2 merupakan peranti pertama daripada Xiaomi yang menyokong sokongan rangkaian dwi-4G. Redmi 2 juga turut dilengkapi dengan sokongan MIUI 6 yang membawakan sejumlah fungsi baru, termasuk dari segi antaramuka, penggunaan animasi, rekaan multi-tasking, dan pelbagai perkara yang lain.
Di Malaysia, Xiaomi Redmi 2 akan dijual bermula 17 Mac dan berharga RM449. Seperti biasa, pihak Xiaomi akan menjualnya melalui web. Pihak Xiaomi juga turut mengatakan mereka tiada sebarang perancangan berkenaan dengan penawaran peranti 2GB buat masa ini, dan tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan harga peranti selepas GST kelak.