MWC2015: Permainan Kertas Kamikami

MWC2015: Permainan Kertas Kamikami

Diterbitkan pada Mac 11, 2015 oleh .

Acara Mobile World Congress 2015 bukan sahaja membawakan pelbagai peranti dan teknologi telefon pintar, malah terdapat juga pameran mewakili negara yang turut membawakan syarikat dari negara tersebut. Pada hari terakhir kami sempat melawati reruai pameran mewakili negara dan salah satu produk dari reruai Korea Selatan yang menarik minat kami adalah permainan kertas Kamikami.

Permainan kertas atau Origami ini diberikan nafas baru oleh Kamikami dengan penggunaan papan litar elektronik yang terdapat padanya. Terdapat dua jenis mainan kertas. Salah satunya membolehkan pengguna mengawalnya menggunakan aplikasi yang terdapat pada telefon pintar. Ia juga boleh ditukar ganti komponennya, dan turut mempunyai pengesan yang membolehkan peranti tersebut mengundur secara sendiri. Terdapat juga litar khusus untuk membolehkannya bergerak mengikut litar tersebut.

Satu lagi permainan yang ditunjukkan adalah patung Dinosaur yang berinteraksi dengan aplikasinya pada telefon pintar. Buat masa ini aplikasi ini tersedia pada Android, dan pengguna perlu membeli kit permainan ini. Ia mempunyai LED dan pengesan yang mengesan sentuhan kepada beberapa kawasan di badan Dinosaur. Pengguna boleh seolah-olah mengusap badan Dinosaur dan reaksinya akan terpapar di aplikasinya. Mainan sebegini disasarkan kepada kanak-kanak untuk belajar melipat disamping mendapatkan informasi berkenaan Dinosaur.

Buat masa ini permainan kertas Kamikami hanya tersedia untuk pasaran Korea Selatan memandangkan ia masih didalam bahasa tersebut namun mereka mempunyai perancangan untuk meneroka ke pasaran antarabangsa. Sekiranya anda ibu bapa atau kakak dan abang yang mithali, adakah anda akan membelikan permainan sebegini buat anak atau adik anda?


TIPS & ULASAN