Kerap kami dengar orang berkata “orang Malaysia malas membaca”. Kami percaya ini kenyataan yang telah lapuk dan tidak boleh lagi digunakan sekarang. Kenapa kami yakin dengan kenyataan ini? Kerana semakin banyak novel dibaca oleh warga Malaysia di dalam keretapi dan adaptasi yang tinggi novel menjadi siri TV. Lihat sahaja carta buku dan anda boleh melihat karya buku tempatan kini semakin mendapat tempat. Usaha tidak kenal penat penerbit alternatif banyak membatu menjadikan budaya membaca yang semakin sihat di Malaysia.
Kerajaan China juga ingin menanamkan semangat membaca di kalang rakyat jelatanya. Antara kempen yang dilakukan ialah menghasilkan e-perpustakaan di dalam stesen keretapi bawah tanah Beijing. Dengan kerjasama Perpustakaan Negara China 10 buah e-buku boleh dimuat turun oleh pengguna keretapi bawah tanah secara percuma. Perpustakaan Negara China kini mempunyai koleksi 70 000 e-buku yang boleh dipinjam. Setiap bulan pilihan e-buku yang boleh dimuat turun akan ditukar. Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR pada poster di dalam keretapi dan platform stesen. Ianya akan dimuat turun secara automatik.
Idea ini bermula beberapa tahun yang lalu apabila perpustakaan yang sama menjalankan kempen meminjam buku fizikal di dalam stesen. Sambutan yang diterima cukup menggalakkan tetapi mereka menyedari meminjamkan buku fizikal di dalam stesen adalah tidak praktikal. Oleh itu pemberian e-buku yang boleh dimuat turun menggunakan telefon pintar adalah lebih murah dan praktikal.
Kempen yang serupa jika ada di Malaysia pastinya mendapat sambutan. Ramai yang merungut buku terbitan alternatif seperti siri buku “Suamiku Encik Sotong” merosakkan minda remaja. Tetapi kami percaya menimbulkan minat membaca itu lebih penting dari risau bahan bacaan “yang tidak ilmiah”. Kami sendiri dahulu mula membaca novel Permata Yang Hilang. Bukan buku yang baik untuk dibaca tetapi bermula dari situ kami mula membaca buku-buku yang lebih serius dan berilmiah. Sebuah syarikat penerbitan di Malaysia menggunakan cogan kata “membaca jambatan ilmu, tidak membaca jambatan bangang”. Cogan kata yang bunyinya keras tetapi ada kebenarannya.