Carian
Chirok : Dron Dengan Kemampuan Amfibia Dari Russia
March 12, 2015 Effi Saharudin

UAV-dron-Chirok

Penggunaan dron tanpa pemandu semakin meluas di dalam sektor ketenteraan. Dron boleh bertugas lebih lama berbanding manusia dan mengurangkan risiko kematian ketika melakukan tinjauan di dalam kawasan musuh. Saiz dron tanpa pemandu udara yang kecil juga menukarkannya untuk dikesan menggunakan radar. Ini membuatkannya menjadi pilihan untuk melakukan misi intipan rahsia. Sebelum ini bagi melakukan misi laut dan udara dua jenis dron berbeza digunakan. Di Russia dron Chirok dihasilkan dan ia mampu menjalankan misi di atas laut dan udara tanpa masalah.

Chirok menggunakan sistem kusyen udara seperti hoverkraf sebagai pengganti sistem pendaratan beroda. Ia boleh mendarat dan terbang dari permukaan laut. Pada masa yang sama ini juga membenarkan ia melakukan aksi yang sama dari permukaan bersalji ataupun landasan tidak berturap. Ini sekaligus menjadikannya dron yang paling tahan lasak dan serba boleh. Dron ini mempunyai sayap selebar 10 meter dan dibina sepenuhnya dari bahan komposit. Ia mampu terbang sejauh 2500 kilometer pada ketinggian 6000 meter. Sistem persenjataan disimpan di dalam tubuh dron bagi mengecilkan keratan rentas radarnya. Buat masa ini Chirok masih dalam proses percubaan dan akan diperlihatkan secara umum Ogos hadapan.

Kenapa dron dengan kemampuan sebegini diperlukan oleh Russia? Tidak seperti negara lain Russia tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung keperluan ketenteraan. Lapangan terbang tentera mereka juga tidak dijaga dengan baik kerana keadaan cuaca yang melampau. Sejak dari dahulu lagi kesemua pesawat tentera Russia mempunyai kemampuan mendarat dari landasan separa siap. Kewujudan dron yang mampu terbang dan mendarat dari permukaan kasar adalah langkah logikal. Dron dua alam juga menjimatkan wang kerana tidak perlu membina pelbagai model dron untuk situasi berbeza seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Israel.

UAV-dron-Chirok-2

 

Komen