Pergantungan kita kepada peranti pintar sepanjang masa membuatkan kita sentiasa mencari palam elektrik untuk mengecas peranti. Bagaimana sekiranya anda berada di tengah belantara dan perlu mengecas peranti? Terdapat banyak panel solar di pasaran tetapi ia memerlukan masa yang lama untuk mengecas. Blue Freedom ialah stesen janakuasa mini mudah alih yang dihasilkan oleh Blue Freedom LLC yang berpangkalan di Jerman.
Sistem janakuasa ini hanya selebar 20 sentimeter dan senang dibawa ketika berkhemah. Apabila ingin digunakan kipas janakuasa diletakkan di dalam arus ais dan apabila ianya berputar ia akan menjana tenaga elektrik mesra alam. Kesemua tenaga elektrik ini disimpan di dalam bateri 5000 mAh yang terbina di dalam tubuh Blue Freedom. Menurut pereka Blue Freedom, tenaga yang dijanakan selama sejam dapat membekalkan kuasa yang cukup untuk telefon pintar anda berfungsi selama 10 jam. Terdapat dua slot pengecasan USB pada sisi peranti dan sebuah slot mikroUSB untuk mengecas bateri Blue Freedom sekiranya perlu. Janakuasa mini ini sedang mengumpul dana dan anda boleh memiliki pada harga serendah $179.